Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) digesa mempertimbangkan semula keputusan membatalkan program tahunan Tilawah Al-Quran peringkat sekolah rendah bagi tahun 2016.
Desakan itu dibuat oleh Persatuan Qari dan Qariah Negeri Kelantan hari ini, yang amat bimbang dan berasa curiga dengan keputusan KPM itu.
Pengerusinya, Che Norddin Che Hussin berkata, persatuan mahu KPM meneruskan program tilawah Al-Quran ini sama ada diperingkat sekolah rendah dan menengah seperti biasa dilakukan oleh KPM sebelum ini.
“Kami akan menganjurkan perarakan aman dihadapan KPM di Putrajaya untuk memohon rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan akan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk merayu agar pihak istana dapat membatalkan keputusan KPM itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Che Norddin berkata, persatuan membimbangi empat perkara utama yang akan berlaku sekiranya dasar KPM itu diteruskan.
“Imej negara yang subur dengan budaya Al-Quran bermula di peringkat sekolah akan tercalar dengan keputusan yang kurang bijak oleh kerajaan kerana program ini amat disegani dikalangan negara-negara Islam lainnya.
“Kedudukan Islam sebagai agama rasmi semakin tidak dihormati dan dipandang remeh, seolah program utama Islam boleh diubah sesuka hati.
“Kedudukan raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama diperingkat kebangsaan dan negeri seakan tidak lagi dihormati.
“Pembatalan ini akan menyebabkan semakin hilang minat dan bakat pelajar terhadap ilmu Al-Quran. Musabaqah al-Quran satu-satunya program yang mampu menarik minat pelajar terhadap Al-Quran di bidang Tarannum,” ujarnya.
Terangnya lagi pengalaman di Kelantan sebelum ini seperti kerajaan negeri membekukan penyertaan wanita dalam semua jenis Tilawah Al-Quran selama lebih 20 tahun sejak 1990 dan keputusan kerajaan persekutuan apabila membatalkan pelajaran dan pembelajaran Jawi di sekolah di bawah KPM.
“Kesan daripada dua peristiwa itu menyebabkan negeri Kelantan ketandusan peserta qariah yang mempunyai bacaan bermutu dan kita dapati masyarakat Islam kebanyakannya generasi muda menghadapi krisis buta tulisan dan membaca jawi dan lebih teruk buta Al-Quran,’ ujarnya.