Saya terpanggil untuk memberi reaksi dan komen mengenai isu Umno dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mahu Datuk Mukhriz Mahathir ditukar segera sebagai Menteri Besar dan Pengurusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.
Ulasan saya atas kapisiti peribadi dan sebagai seorang ahli politik yang bebas tanpa ada ikatan dengan mana-mana pihak, isu Mukhriz dilucut jawatan menjadi isu nasional dan tidak setakat rakyat negeri Kedah.
Secara logik tindakan Umno Kedah dan wakil rakyat berani bertindak demikian kerana sudah pasti ada restu dari pihak tertentu.
Bila masa dalam sejarah pimpinan Umno peringkat negeri berani bertindak mendahului Presiden dan Perdana Menteri?
Apakah mereka tidak percaya ke atas perlantikan yang dibuat oleh PM dan adakah mereka akan dirujuk kepada Jawatan kuasa Disiplin?
Rakyat terus di heret dari satu isu ke satu isu untuk berbahas dan mengutuk antara satu sama lain tanpa henti.
Suasana iklim politik dan kehidupan rakyat sejak Pilihanraya Umum ke-13 terus bergelora dengan berbagai isu yang belum selesai.
Kini ditambah lagi dengan isu Mukhriz dan pasti terkait dengan Tun Mahathir Mohamad.
Berilah atas apa alasan sekali pun. Jika isunya Mukhriz lemah dengan alasan-alasan kabur,bagaimana pula Pengerusi-Pengerusi Umno-BN dan MB Negeri lain?
Jika tindakan ini di halalkan,maka satu ‘precedent’ telah dihalalkan dan ianya boleh menjadi ikutan lain-lain negeri.Contohnya Datuk Mustapha Mohamad di Kelantan sudah lama menerajui Umno Kelantan dan dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan pusat,tetapi masih gagal menebus kekalahan BN di Kelantan.
Apakah Umno Kelantan berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Mustapha Mohamad? Kalau asyik kalah saja tapi berpuas hati dan terus taat setia,maka mana lebih hebat antara Umno Kedah dan Umno Kelantan?
Kedah pula sudah pun kembali kepada BN. Ini yang mula dibahas oleh rakyat di warong-warong atau masjid dan surau.
Malah generasi muda yang melihat Mukhriz adalah ikon mereka. Apa pun Mukhriz tidak rugi apa-apa kerana beliau masih muda dan banyak masa.
Apa yang pasti Mukhriz sudah muncul dan lahir sebagai seorang wira dan tokoh muda terbilang hasil dari tindakan Umno kedah.
Seseorang pemimpin yang akan menjadi tokoh hebat bermula dengan berbagai rintangan dan halangan.
Jatuh dan bangun. Samalah dengan Tun Mahathir apabila dipecat oleh Umno zaman Almarhum Tengku Abdul Rahman.
Di situlah bermulanya nama Mahathir meniti di bibir mulut rakyat. Ada yang kena ISA dan kerana ISA menjadi popular.
Ada yang ditahan tujuh hari bawah ISA pun tepuk dada. Konon dialah wira dan pada masa yang sama mengecam ISA. Dunia yang penuh dengan hipokrasi.
Yang rugi dalam isu Mukhriz ialah Umno dan BN. Kalau PRU ke-13 kemenangan BN terus menjunam maka bagaimana pula PRU ke- 14 akan datang.PRU ke-13 mendapat sokongan Tun Mahathir dan tidak ada isu isu besar pun gagal tambah kerusi atau mendapat 2/3 majoriti.
Bersalut dengan berbagai isu termasuklah kos kehidupan rakyat dengan isu GST,nilai Ringgit yang merudum,IMDB dan RM2.6 bilion yang begitu kontroversi,pengangguran, pembiayaan pelajaran, di tambah pula TPPA dan terbaru isu Mukhriz.
Suasana politik Umno-BN amat mengerikan. Allah sahaja yang maha mengetahui. Saya hanya melakar pandangan sebagai orang politik yang sudah masak dengan asam garam.
Anwar dalam penjara, Tok Guru Nik Abdul Aziz sudah kembali ke rahmatullah dan Pakatan Rakyat sudah pecah, yang mana semua ini sepatutnya sudah mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno- BN, tetapi keadaan sebaliknya.
Pakatan Rakyat sudah mati dan lahir Pakatan Harapan pula namun UMNO-BN terus diserang penyakit demi penyakit.
Apapun,kita berdoa semoga Malaysia negara tercinta ini aman damai.
Pandangan ini adalah pandangan peribadi daripada insan kerdil yang selalu mengambil berat terhadap rakyat dan negara.
*Penulis adalah Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).