Adun pembangkang Kedah sepakat bantah tukar MB

Oleh MALAYSIADATELINE

Kesemua 15 Adun Pembangkang Kedah sepakat membantah tindakan sebahagian pemimpin Umno-BN yang cuba menurunkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar  kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan termasuk rakyat dan  Istana.

Dalam kenyataan bersama barisan Adun Pembangkang itu melahirkan dukacita kerana apa yang dilakukan oleh Adun Umno-BN di negeri itu ketika Kedah sedang dalam tempoh meraikan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah adalah tidak bertatasusila dan beradab.

“Jika Datuk Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat.

“Tidak wajar hanya kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan termasuk rakyat dan pihak istana,” kata kenyataan itu.

Hari ini seramai 13 daripada 15 Adun Pembangkang di Kedah menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah kira-kira jam 3 petang tadi bagi menentukan kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun dalam pertemuan itu Ketua Pembangkang dan Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah daripada Pas dan Adun Bukit Selambau Dr R. Krishnamoorthy daripada PKR tidak hadir  kerana dipercayai berada diluar negara.

Sambil memuji tindakan pihak istana yang disifatkan sebagai menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak rakyat, Adun Pembangkang Kedah juga turut menegaskan, tindakan menukar Menteri Besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding keperluan menukar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang telah banyak menyusahkan rakyat.

Justeru, mereka menggesa masalah kepimpinan utama Kerajaan Kedah diselesaikan dengan segera, kerana krisis yang berlarutan akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk terhadap rakyat.

Menurut kenyataan itu juga, jika kemelut menghadapi jalan buntu, maka pilihan terbaik adalah penyelesaian berasaskan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri iaitu menentukan kehilangan sokongan majoriti Adun Kedah kepada Sultan melalui satu usul di persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah.

“Kami menjunjung kasih ke atas Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang turut menjemput semua Adun dari parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri Kedah sekarang,” kata kenyataan itu.

Malaysia Dateline menghubungi Adun Kubang Rotan dari Pas, Nasir Mustafa untuk mendapatkan komen di atas pertemuan diadakan petang tadi.

Nasir memaklumkan, pertemuan kira-kira satu jam diadakan itu berjalan lancar.

“Pertemuan berjalan dengan penuh mesra, muhibbah dan kami menjunjung kasih kepada Jemaah Pemangku Sultan kerana telah memberi peluang kepada kami untuk sama-sama memberi pandangan dalam kemelut yang belaku dan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Semalam, semua 21 Adun BN dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menzahirkan pendirian mereka mengenai krisis politik itu.

Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah yang juga timbalan pengerusi perhubungan Kedah secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 Adun BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri besar.

Najib pada sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.