Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menegaskan krisis integriti membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mendedahkan kelemahan institusi Parlimen yang sepatutnya berperanan bebas.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia itu berkata, Parlimen sewajarnya melaksanakan tanggungjawab sebagai legislatif.
Walau bagaimanapun, jelasnya, Parlimen kini dilihat gagal apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terpaksa ditangguhkan kerana bantahan bertulis daripada saksi yang dipanggil iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Jika Parlimen menerima bantahan untuk menangguhkan PSC tanpa menunggu prosiding untuk membincangkan alasan-alasan tersebut sebelum keputusan dibuat, ini dilihat sebagai jenaka kepada badan legislatif,” katanya.
Beliau turut menyifatkan isu membabitkan Azam itu akan mengundang kepada darurat integriti.
“Sebagai salah satu daripada tiga cabang kuasa (selain itu adalah eksekutif dan kehakiman), Parlimen sepatutnya berhak menjalankan prosiding bagi merungkai permasalahan yang melibatkan kepentingan orang ramai terutamanya dalam isu ketelusan dan integriti,” tegasnya.
Sehubungan itu, tegas Akmal, pihak AMK akan meneruskan penyerahan Memorandum Rakyat pada 20 Januari ini di hadapan Parlimen Malaysia kepada Perdana Menteri, Speaker dan Ketua Pembangkang.