Konflik kem Najib dan Mahathir yang melatari cubaan menukar Menteri Besar Kedah menjadi bukti jelas Umno semakin jauh daripada nadi kesusahan rakyat.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata Ketika ribuan rakyat Kedah terhimpit mahu meneruskan hidup, Umno hanya berfikir dan bertindak menurut survival politik masing-masing, bukan kepentingan rakyat terbanyak.
“Berapa ramai lagi rakyat khususnya di kampung-kampung Melayu Kedah yang perit mahu meneruskan hidup? Berapa ramai pula yang masih bergelut meneruskan hidup dengan pendapatan kasar hanya RM100 sebulan?
“Pernahkah Umno mengambil kira keadaan payah rakyat sebelum menggerakkan ‘stunt’ politik yang langsung tidak menguntungkan rakyat ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Lantas Pemuda Amanah menggesa Umno berhenti bertindak seolah-olah rakyat boleh lupa penyelewengan dan pengkhianatan Umno terhadap rakyat dan negara.
“Perdana Menteri sendiri masih berhutang besar dengan mahasiswa apabila menghentikan biasiswa JPA ketika pada masa yang sama peruntukan bawah Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM20.3 billion tidak dikurangkan langsung.
“Jentera Pemuda Amana khususnya di Kedah diarah untuk fokus kepada usaha membela rakyat susah di kampung-kampung. Perlu ditanam di minda rakyat, siapa pun bakal menjadi Menteri Besar, jika asalnya UMNO, tetap tidak akan mengubah kesusahan rakyat.” katanya.