Satu rakaman memaparkan seekor kucing yang kelihatan begitu nyaman ketika duduk dalam sebuah peti ais telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, kucing berkenaan bukan sahaja menahan kesejukkan malah turut enggan keluar daripada peralatan elektrik tersebut walaupun sudah ditarik oleh pemiliknya berulang kali.
Pemilik kucing itu memaklumkan bahawa punca haiwan peliharaannya berkelakuan demikian adalah kerana tidak tahan dengan cuaca panas dirasakan ia selepas pulang ke kampung halaman.
Rupa-rupanya, haiwan bertompok hitam putih itu berasal dari kawasan bandar dan rumah pemiliknya juga memiliki penghawa dingin membuatkannya tidak terbiasa dengan cuaca panas di kampung.
Perkongsian itu dimuat naik oleh pemilik di akaun TikTok miliknya menerusi hantaran video berdurasi 18 saat yang kini sudah berjaya meraih mencecah 900,000 tontonan daripada pengguna platform tersebut.
“Apabila kucing bandar balik ke kampung. Menggelupur kalau tiada ‘air-cond’ (penghawa dingin). Selepas itu, pantang nampak peti ais terbuka. Terus nak baring di dalamnya,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan gelagat kucing terbabit ekoran enggan keluar daripada peti ais hanya kerana tidak tahan dengan bahang panas di kampung.
Ramai juga pelayar TikTok yang turut memelihara kucing mengakui bahawa haiwan tersebut sememangnya agak ‘demanding’ atau banyak mahunya dari segi keselesaan dan makanan.
Beberapa individu turut berseloroh dan meminta pemilik kucing itu mencabut pakaian haiwan peliharaannya bagi menghilangkan rasa panas berikutan corak tompoknya menyerupai bentuk tuksedo.
“Kena tolong bukakkan baju tuksedo dia itu kakak. Itu yang balik kampung jadi kepanasan,” kata seorang pengguna memberikan cadangan secara berseloroh berhubung situasi itu.
“Samalah dengan kucing aku dekat rumah ini. Minta air-cond lebih dari anak-anak aku lagi. Makan memilih. Kalau sudah lama letak dalam bekas, tak nak makan. Minta yang baru. Selepas itu minta semua orang garu dia.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Rakyat Malaysia takut nak sambut raya di Thailand