Kurangkan kompaun dan minta maaf, desak AMANAH Kelantan

Oleh Oleh ARIF BASHARUDIN dan ZIKRI ABDULLAH

Kerajaan Malaysia dan pihak penguatkuasa yang terlibat dalam mengenakan kompaun melampau bernilai RM50 ribu kepada seorang peniaga burger di Kelantan perlu memohon maaf kepada peniaga terbabit.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Che Ibrahim Mohamed (gambar) berkata, dengan mengaku kompaun itu salah dan sepatutnya maksima hanya RM10,000 sahaja, tidak mencukupi.

“Jumlah kompaun yang ditulis di atas kertas saman itu ternyata khilaf dan di luar daripada peruntukkan mana mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Mungkin berlaku kesilapan pegawai bertugas menulis jumlah kompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan tersebut sehingga menimbulkan keresahan dan menganggu emosi bukan sahaja mangsa yang kena saman, tapi masyarakat keseluruhanya.

“Oleh itu kerajaan wajar memohon maaf atas kesilapan tersebut,” desak beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Ketereh itu

Sebelum ini, seorang peguam Zulhazmi Sharif berkata, kompaun RM50,000 yang dikenakan itu tidak betul kerana jumlah kompaun itu hanya untuk syarikat sahaja tetapi jika persendirian, kompaun maksima yang boleh dikenakan adalah RM10,000 sahaja.

“Jika persendirian, maka notis kompaun tersebut salah dan boleh terbatal kerana kadar kompaun RM50,000 itu adalah untuk pertubuhan atau syarikat,” katanya.

Malah, tambahnya, kadar kompaun jika diturunkan kepada RM10,000 sekali pun hanya nilai tawaran maksimum.

“Jumlah kompaun boleh diturunkan atas budi bicara kerana kompaun itu pun sekadar budi bicara bukan hukuman,” ujarnya lagi.

Ekoran itu, beliau mencadangkan peniaga berkenaan tidak membayarnya dan melawan kes itu di mahkamah.

Ekoran kejadian itu, sekumpulan peguam dari Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH Kelantan bertemu dengan peniaga terbabit, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu bagi menawarkan khidmat guaman untuk beliau.

“Mengambilkira tiada pelanggan semasa kejadian dan Wan Mohd Faisal sedang memasak di halaman rumah mertua beliau dan bukannya di kedai atau restoran, Kanun mendesak agar KKM membatalkan kompaun tersebut.

“Kanun juga bersedia untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Wan Mohd Faisal sekiranya diperlukan,” kata kenyataan Kanun Kelantan itu.

Mereka bertemu dengan Wan Mohd Faisal dan keluarga pada 26 April jam kira kira 10.30 malam, sehari selepas kejadian yang berlaku pada jam 11.10 malam itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah beberapa orang saksi yang berada di tempat kejadian yang berlaku di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.

Semalam, Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu dengan berkata, kompaun maksima kes sebegitu sepatutnya RM10,000 sahaja.