Kutu beras buat serangan? Ini cara ‘halau’ guna bahan yang dah ada di rumah!

Oleh MAISARAH AISYA

Pernah tak perasan, setiap kali basuh beras terutama pada bilasan pertama dan kedua mesti ada kutu beras yang timbul, walaupun beras baru sahaja dibuka dari bungkusannya?

Kadang-kadang, walaupun dah dicuci berkali-kali dengan teliti, masih ada satu dua yang ‘terselamat’ dan melekat di celah-celah.

Memang menjengkelkan! Tapi jangan risau, sebenarnya ada cara mudah dan berkesan untuk hilangkan kutu beras sepenuhnya.

Ikuti perkongsian portal My Resipi mengenai cara berkesan untuk hilangkan kutus beras, hanya menggunakan bahan di dapur.

7 cara halau kutu beras

  1. Guna asam keping

Kutu beras memang tak suka asam keping. Jadi, anda hanya perlu letakkan beberapa keping asam keping ke dalam tempat simpan beras untuk menghalau kutu beras.

  1. Daun limau purut

Anda juga boleh gunakan daun limau purut kerana kutu beras tak suka bau daun limau purut. Letakkan di bahagian atas, tengah dan bawah tempat simpan beras anda.

  1. Jemur bawah matahari

Jika kutu beras anda terlalu banyak, anda hanya perlu jemur beras di bawah cahaya matahari.

Masukkan beras dalam satu dulang dan letakkan cili kering atas beras. Jemur beras tersebut.

  1. Guna kulit kayu manis

Anda juga boleh letak kulit kayu manis ke dalam tempat simpan beras. Aroma dari kulit kayu manis mampu halang kutu beras daripada membiak dalam beras anda.

  1. Guna daun pandan

Daun pandan bukan saja boleh mewangikan beras, tapi ia juga boleh menghalau kutu beras.

  1. Guna cili kering

Anda hanya perlu gunting dua cili kering dan letakkan dalam tempat simpanan beras. Bau pedas dari cili kering akan menghalau kutu beras.

  1. Letakkan dalam peti ais bahagian sejuk beku

Letakkan beras anda dalam freezer selama tiga hari. Cara ini akan mematikan kutu beras dan telurnya.

Baca juga: Shila Amzah tak sangka diserang artis lagenda di depan ‘kru’, laporan polis sudah dibuat