Kutuk Israel ambil alih masjid bersejarah di Dahmash

Oleh FAZLI RADZI

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk dan menuntut sebarang rancangan untuk mengYahudikan Masjid Dahmash di kota Lod mesti dibantah sekeras-kerasnya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk keras apabila cawangan ekonomi perbandaran Israel di Lod, di Israel baru-baru ini telah mengambil alih sebahagian daripada Masjid Dahmash.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bersama Pengerusi Aliansi Masjid SeDunia Mempertahankan Al Aqsa, Dato Seri Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia, Datuk Seri Syekh Abdul Ghani Samsudin.

Menurut mereka, Masjid Dahmash yang merupakan satu daripada lima masjid bersejarah di Kota Lod kini dimanfaatkan sebanyak 35,000 rakyat Palestin yang masih kekal di bandar itu.

“Kami mengimbau kembali pembunuhan beramai-ramai Masjid Dahmash apabila pada 13 Julai 1948, pasukan pendudukan Israel, berpakaian seragam tentera Jordan, menyerbu bandar itu dan membunuh 426 rakyat Palestin, termasuk 176 yang bersembunyi di dalam Masjid Dahmash,” katanya.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa Palestin supaya bertindak untuk menghentikan rampasan Masjid Dahmash kerana ini akan menjadi prisiden untuk rancangan Yahudi selanjutnya dan Israel untuk mengambil alih masjid dan kampung Palestin.

“Kami mengambil perhatian serius mengenai pengusiran keluarga Palestin dari Baitulmaqdis, dalam usaha untuk merekayasa perubahan demografi di bandar yang diduduki dan dikawal Tempat Suci Al-Aqsa.

“Judaisasi dilaksanakan dalam pelbagai bentuk. Perampasan tanah, menukar identiti dan simbol Palestin, mengibarkan bendera Israel di banyak bahagian wilayah yang diduduki Palestin, mengusir penduduk Palestin dengan membawa masuk peneroka haram Yahudi, mengenakan peraturan Yahudi, merobohkan rumah Palestin dan membina bangunan Yahudi di wilayah yang diduduki.

“Lebih agresif lagi serangan berterusan ke dalam Masjid Al Aqsa. Pelbagai serangan kini menyekat umat Islam Palestin untuk memasuki masjid,” jelasnya.

Masjid Dahmash

Campur tangan

Mohd Azmi yang mesra dipanggil Cikgu Azmi berkata, mereka menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan menghentikan rancangan Judaisasi Israel.

Mereka menegaskan bahawa Israel terang-terang melanggar undang-undang antarabangsa dan ia tidak boleh dibenarkan untuk diteruskan tanpa sebarang hukuman.

“Kami menggesa pemimpin Islam untuk memahami akibat daripada rancangan Judaisasi yang kini dilaksanakan secara beransur-ansur di wilayah yang diduduki Palestin.

“Pengambilalihan Masjid Dahmash adalah langkah permulaan kepada keseluruhan proses Judaisasi. Israel sedang memulakan undang-undang diskriminasi untuk menghalalkan proses mengusir dan mengubah demografi dan landskap tanah yang diduduki.

“Setiap institusi undang-undang akan digerakkan untuk memastikan pendudukan sepenuhnya dan Yahudiisasi Palestin dimuktamadkan,” katanya.

Cikgu Azmi menyifatkan matlamat akhir Zionis Israel adalah untuk merobohkan Masjid Al Aqsa dengan meneruskan apa yang dipanggil penggalian terowong dengan alasan penyelidikan arkeologi.

“Melainkan dan sehingga rancangan Judaisasi itu difahami dan dihentikan, perjuangan untuk pembebasan Palestin tidak akan tercapai,” memetik kenyataan mereka itu lagi.

Baca juga AMANAH kecam serangan Israel di Al Aqsa, akan buat bantahan beramai-ramai di Kedutaan AS

Baca juga Tak tahan didera keluarga angkat, remaja nekad larikan diri ke balai polis