KWSP dah boleh keluar secara bulanan? CEO perjelas kekeliruan, rupanya untuk umur…

Oleh KIM SYAZIE

Pastikan ramai menantikan khabar gembira dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selepas tular isu pengeluaran wang secara bulanan.

Rupanya ia hanya tertakluk kepada mereka yang mencecah usia persaraan 55 tahun lapor Berita Harian.

KWSP tidak menolak kemungkinan untuk jadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan.

Pada ketika ini ia adalah secara sukarela namun mungkin berubah kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.

Tambah beliau, pengeluaran secara berkala memberi peluang kepada ahli untuk menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan.

Namun, tegasnya, pelaksanaan secara mandatori itu memerlukan kajian yang lebih teliti dan perbincangan lanjut dengan kerajaan.

“Buat masa sekarang, fokus kami menggalakkan ahli membuat tabungan di bawah skim yang ada.

“Kita sememangnya memberi pilihan pengeluaran kepada ahli KWSP yang sudah mencecah usia persaraan 55 tahun untuk sama ada pengeluaran penuh atau sebahagian.

“Namun, ahli yang memilih pengeluaran secara bulanan masih tidak ramai dan ini adalah ruang untuk kami perlu promosi dengan lebih lagi,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sehingga Mac 2023, KWSP merekodkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 116,423, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 15.8 juta.

Daripada jumlah itu, seramai 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga buruh Malaysia.

Aset pelaburan keseluruhan KWSP setakat Mac 2023 meningkat kepada RM1.04 trilion, dengan pelaburan luar negara menyumbang 37 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.

Baca juga: Gaji perkhidmatan awam akan dikaji semula, sekarang terlalu rendah, kata PM Anwar