Lagi kemalangan ngeri, treler rempuh 8 kereta di Karak

Oleh KIM SYAZIE

Lapan kenderaan dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 40, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (LRK) berdekatan Bentong hari ini.

Kemalangan yang berlaku pada jam 9.30 pagi itu dilaporkan berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua MPV jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, lima kereta jenis Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios, Proton Saga, Toyota Hilux dan sebuah treler jenis Volvo.

“Hasil siasatan polis mendapati lori treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun datang dari arah Kuala Lumpur telah hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

“Pemandu treler mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan dan dahi, manakala pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjarakan dalam tempoh tidak lebih 12 bulan.

Pada semalam, turut berlaku kemalangan menyayat hati membabitkan sebuah keluarga yang difahamkan dalam perjalanan ke kenduri perkahwinan di ibu kota yang bertukar tragedi selepas empat beranak termasuk tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan.

Kejadian tersebut berlaku di simpang lampu isyarat Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu-Mempaga dekat Lebuh Raya Central Spine Road (CSR).

Kejadian dalam kira-kira jam 3.10 petang itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Vellfire dan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Negara juga masih tidak lupa pada insiden Disember tahun lalu di mana 10 individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan treler yang merempuh tiga kereta berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam.

Sembilan daripada mangsa itu adalah satu keluarga iaitu seorang wanita dan lapan anaknya.