Satu rakaman memaparkan sekumpulan pemuda sedang mengusung set tilam lengkap bersama tiga biji bantal telah berjaya mengundang perhatian orang ramai, baru-baru ini.
Rupa-rupanya, tilam berat yang gigih diusung di bawah cuaca panas ke sebuah lokasi kenduri itu adalah hadiah perkahwinan kepada pasangan pengantin baharu yang merupakan sahabat mereka.
Menerusi rakaman berdurasi 56 saat yang dimuat naik di platform TikTok itu, dapat dilihat lima sekawan terbabit berjalan melepasi khemah kenduri dan menuju ke rumah rakan mereka untuk menyerahkan hadiah tersebut.
Kehadiran mereka kemudian disambut oleh seorang individu dipercayai pengantin lelaki yang kemudian menerima hadiah dihiasi dengan riben merah jambu tersebut dengan senang hati.
“Selamat pengantin baru, sahabat. Yang penting, kita buat sampai jadi,” kata perakam video dalam ruangan kapsyen hantaran yang kini sudah meraih mencecah setengah juta tontonan daripada pengguna TikTok.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata penonton memberikan maklum balas positif dengan mengatakan bahawa hadiah set tilam tersebut memang lain daripada yang lain namun sangat berguna.
Ramai juga pelayar TikTok tampil berkongsi pengalaman peribadi yang menerima hadiah sangat berguna di hari bahagia mereka seperti barangan keperluan rumah dan elektrik daripada tetamu majlis.
“Hadiah kahwin yang sampai sekarang aku guna adalah lesung batu dan seterika. Tak rosak-rosak. Kenduri kahwin pada 2013,” kata seorang pengguna berkongsi pengalaman peribadinya.
“Nampak macam ‘rare’ (lain dari yang lain). Tetapi itulah yang paling berguna. Tilam tebal macam itu harga lebih RM400, set bantal paling murah RM50. Rezeki pengantin baharu.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Berdosa ke kalau isteri minta cerai pada suami dalam penjara? Mufti tampil perjelas