Peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat membuka jalan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan reformasi atau perubahan dalam Parlimen.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, perubahan yang boleh dilakukan adalah dengan melantik seorang timbalan speaker daripada kalangan pembangkang.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut memerlukan komitmen pelaksanaan daripada Perdana Menteri sendiri
“Peletakan jawatan Azalina sebagai timbalan speaker membuka jalan untuk reformasi Parlimen dengan melantik seorang Ahli Parlimen dari kalangan ahli-ahli pembangkang.
“Terdapat banyak perkara yang memerlukan komitmen Perdana Menteri terutamanya pendekatan dan strategi yang melibatkan keseluruhan masyarakat untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerana itulah kata Lim, Ismail perlu bersifat terbuka kepada kritikan dan cadangan seperti yang diberikan oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai tindakan mengetepikan peranan doktor am swasta dalam Program Immunisasi Kebangsaan (PICK).
Selain itu termasuklah menerima teguran pakar untuk mempercepat pelaksanaan program vaksinasi di negeri-negeri di luar Lembah Klang.
Lim berkata, krisis politik yang dihadapi negara hanya boleh diselesaikan dengan semua parti-parti politik kembali semula kepada prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Kita perlu kembali kepada kehidupan normal sebelum kita boleh memulakan fasa seterusnya perjuangan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah sinar cahaya dalam dunia yang kelam dna terganggu,” katanya.
Pada semalam, Azalina mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Azalina berkata, beliau membuat keputusan itu atas beberapa alasan, susulan pelantikan Perdana Menteri baharu iaitu Ismail Sabri dan tuntutan rakyat yang kuat serta jelas bagi kerjasama pelbagai parti.