Siapa sahaja tidak kenal akan penyanyi ikonik Anita Sarawak yang sering mengeluarkan lagi ‘hit’ di sejak tahun 70-an.
Terbaru nama Anita antara yang disebut untuk dijemput ke konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur sekitar 2025.
Disebabkan itu penulis lirik yang juga bekas wartawan hiburan, Roslen Fadzil berkongsi perkhabaran terbaru Anita dan suami, Mahathir Abdullah.
Roslen dalam hantaran di Instagram berkongsi dia menghubungi adik angkat Anita, bekas wartawan Shuib Taib tentang undangan tersebut.
Di bawah adalah mesej yang diberikan oleh suami Anita menerusi Shuib yang berkongsi rasa sedih Anita dan penghargaan buat Adnan.
“Hi Shuib. Terima Kasih kerana sudi menghubungi. Apabila saya memaklumkan kepada Kak (Anita) tentang konsert tribute Adnan, Kak merasa begitu sedih.
“Terkenangkan waktu yang pernah dikongsi bersama Adnan, salah seorang produser terbaik sepanjang zaman.
“Harap kirimkan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan beritahu mereka bahawa mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dan hebat ayah mereka itu,” antara mesej yang dikongsikan di Instagram.
Bagaimanapun penyanyi lagu ‘Akhirnya Kini Pasti’ menolak undangan nyanyian kerana sudah selesa hidup sebagai orang biasa.
“Berhubung undangan persembahan itu, Kak ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan terhadapnya.
“Bagaimanapun, seperti yang diketahui, Kak sudah pun bersara ke arah kehidupan yang berbeza, lebih privasi dan selesa dengan situasi sekarang.
“Jadi mohon sampaikan kemaafan kami kepada pihak penganjur dan kami amat menghargai segala tanda ingatan,” jelas Mahathir.
Baca juga: Kurang pelawak kaum India, Sathiya akui diri sudah tua, hanya pilih watak senang dilakonkan