Lambat keluar lepas beli nasi ayam jadi punca, lelaki tampar isteri dalam ‘live’ direman 3 hari

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki berusia 50-an direman selama tiga hari susulan penularan satu rakaman siaran langsung memaparkan dirinya menampar isteri di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, Sepang, Selangor.

Penahanan reman yang bermula pada Ahad itu dilakukan selepas penangkapan lelaki terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, suspek dipercayai naik berang kerana mangsa yang juga isterinya lambat keluar daripada pusat beli-belah selepas membeli nasi ayam.

Norhizam turut memaklumkan bahawa suspek dipercayai tidur di dalam keretanya di sepanjang tempoh menghilangkan diri susulan penularan rakaman kejadian tersebut di media sosial, lapor Harian Metro.

“Suspek yang berusia 50-an itu kini direman tiga hari bermula hari ini (Ahad) bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki menampar isterinya di pusat beli-belah di Kota Warisan di platform media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai yang mahu tindakan segera diambil.

Lelaki berkenaan difahamkan sempat menghilangkan diri sebelum berjaya ditahan pihak polis di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan pada pukul 10 pagi kelmarin untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Berdasarkan rakaman berdurasi 29 saat tersebut, mangsa dilihat sedang berjalan keluar daripada pusat beli-belah berkenaan seorang diri sambil memegang satu plastik di tangan kirinya.

Wanita itu kemudian tiba-tiba berhenti di pintu keluar premis tersebut sejurus ternampak suspek yang memakai topi berjalan menuju arahnya sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak dipercayai anak mereka.

Siapa sangka, lelaki itu malah bertindak menampar wajah wanita terbabit di khalayak ramai sebelum mereka keluar dari premis namun kejadian berkenaan secara kebetulan terakam dalam sesi siaran langsung dibuat indvidu lain.

Baca juga: Lelaki tampar isteri di khalayak ramai dikecam, perbuatan terakam dalam siaran langsung