Lanjutkan operasi kedai makan untuk sektor tertentu semasa PKP

Oleh Oleh ARIF BASHARUDIN

Kerajaan dirayu supaya melanjutkan tempoh waktu berniaga kedai makanan untuk sektor tertentu bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat terutama di kawasan kilang yang beroperasi 24 jam.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan berkata, Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mempertimbangkan semula kewajaran SOP PKP berkaitan sektor perniagaan makanan tersebut agar lebih membantu rakyat ketika susah sekarang.

Ia ekoran pengumuman MKN yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 17 Mei 2021 di negeri Kelantan.

Tindakan ini telah menimbul kerisauan pelbagai pihak terutama dari golongan peniaga dan pengusaha kedai makan berhubung SOP PKP yang menghadkan operasi sektor perniagaan tersebut hanya sehingga jam 10 malam.

Menurut Hazmi yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa itu, Pemuda AMANAH Kelantan amat bersimpati dengan nasib golongan peniaga yang tersepit di antara kepatuhan terhadap SOP dan keperitan usaha untuk terus mencari rezeki di negeri ini.

Kebimbangan rakyat mengenai SOP PKP itu berasas apabila setakat ini sudah tiga orang pengusaha kedai makan di Kelantan telah disaman dengan nilaian RM50,000 atas kesalahan beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan iaitu hingga jam 10 malam.

Antaranya  Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana memasak burger di perkarangan rumah mertuanya pada jam 11.00 malam di Kota Bharu.

Hazmi telah menebual Wan Mohd Faisal dan isterinya bagi bertanya soal kompaun itu baru-baru ini (gambar atas).

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya di Kampung Chekok Tengah juga dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga lebih dari waktu yang dibenarkan.

Polis Kelantan memaklumkan, sehingga kini sudah tiga peniaga dikenakan kompaun RM50,000 itu di Kelantan kerana melanggar SOP waktu berniaga.

“Pemuda AMANAH Kelantan berpendapat, pihak Kerajaan sewajarnya lebih bertimbang rasa dan prihatin kepada keperluan rakyat untuk mencari rezeki samada peniaga mahupun pelanggan, terutama di bulan Ramadan ini,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Jeming itu.

Antara masalah yang diutarakan oleh Pemuda AMANAH Kelantan berhubung kewajaran pindaan SOP PKP itu ialah isu kesempitan ruang waktu untuk para peniaga terus beroperasi dan para pelanggan yang mahu membeli makanan, terutama kepada rakyat yang berkerja di sektor swasta di waktu malam.

Oleh itu Pemuda AMANAH Kelantan berpendapat, tidak salah untuk pihak Kerajaan meminda dan memberi kebenaran lanjutan operasi kedai makan di dalam kawasan PKP seperti Kelantan hingga jam 2 pagi atau jam 5 pagi jika perlu.

“Masih ramai rakyat kita yang bekerja sehingga lewat malam, balik dari tempat kerja sudah tidak sempat untuk beli makanan sama ada untuk kudapan atau bersahur, kerana kedai makan terpaksa tutup awal, sedangkan ada yang bekerja sampai waktu awal pagi, terutama dari sektor swasta,” kata Hazmi.

Menurut Hazmi, pihak Pemuda AMANAH Kelantan menyokong segala usaha oleh pihak Kerajaan untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid 19 dari terus menular.

“Namun jangan pula ia dibuat sehingga rakyat terputus bekalan makanan akibat dari kesempitan ruang untuk mencari rezeki, terutama kepada sektor seperti ini,” kata beliau.