Lantik Adun PH untuk selesaikan konflik kerusi MB Perlis, kata AMANAH

Oleh MALAYSIADATELINE

Konflik politik kerusi Menteri Besar (MB) Perlis yang berlarutan membabitkan Tuanku Raja Perlis boleh diselesaikan seandainya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sepakat bagi melantik MB Perlis yang baharu dikalangan Adun Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Mujahid lagi, proposal ini boleh menjadi solusi terbaik setelah insiden memboikot pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai MB Perlis baru-baru ini.

Malah katanya, insiden hitam tersebut memperlihatkan ketidakstabilan kemenangan BN di Perlis.

“AMANAH amat kesal apabila pihak istana cuba diheret bersama dalam kemelut politik negeri Perlis baru-baru ini.

“Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian, maka alternatif yang terbaik ialah kesemua Adun membuat keputusan dengan memberi sokongan bagi melantik MB Perlis dikalangan Adun PH.

“Tidak dapat dinafikan penubuhan kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan persekutuan akan lebih memberi kesan positif kepada rakyat dan kerajaan yang memerintah, ” ujarnya lagi.

Beliau juga menyelar tindakan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilihat begitu ketara membantah keputusan Tuanku Raja Perlis dalam isu pelantikan MB yang baharu.

‘Sebelum ini BN sering menuduh PH khususnya DAP tidak menghormati institusi Raja, sebaliknya apa yang sedang berlaku membuktikan ia terkena pada diri mereka sendiri.

“Perlu difahami dalam usaha menubuhkan kerajaan, institusi Raja paling berkuasa bagi menentukan sesebuah kerajaan pilihan maupun calon MB.

“Saya optimis, dalam isu pelantikan MB Perlis, Tuanku telah bertindak atas kapasiti kedudukan BN yang telah pun memenangi majoriti bagi kerusi Dun, ” jelasnya lagi.

Azlan, 60, merupakan ADUN Bintong, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN menang pada Pilihanraya Raya Umum ke-14 di negeri itu, dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi Dun, manakala Pakatan Harapan tiga kerusi dan Pas dua kerusi.