Larangan masuk terhadap aktivis-aktivis politik ke negeri Sarawak yang diamalkan sejak pemerintahan BN masih berkuatkuasa meskipun kerajaan persekutuan telah bertukar dan BN Sarawak telah dibubarkan.
Ketua Pemuda AMANAH Sabah Khairuddin Daud berkata, keadaan ini berbeza dengan Kerajaan Warisan Sabah apabila Ketua Menterinya Datuk Seri Apdal terus membatalkan larangan masuk aktivis politik dan pimpinan Pakatan Harapan ke negeri itu sebaik membentuk kerajaan.
Katanya, tindakan beliau ini disambut baik oleh para aktivis politik dan pimpinan Pakataan Harapan kerana menggambarkan kesediaan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat.
Justeru itu, beliau menggesa agar Ketua Menteri Sarawak mengambil langkah yang sama kerana larangan kepada pimpinan kerajaan Pakatan Harapan sudah tidak relevan lagi dan perlu dibatalkan.
“Semestinya Sabah dan Sarawak mempunyai hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Dan hak ini sepatutnya dihormati.
“Namun, sewajarnya ia tidak disalah ertikan. Kehadiran Shazni juga bukanlah bertujuan menimbulkan huru hara, sebaliknya menghadiri program kompenan Parti Pakatan Harapan iaitu AMANAH,”katanya dalam satu kenyataan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir tiba di Sibu, Sarawak semalam untuk menghadiri program rasmi Parti Amanah Negara di sana.
Walau bagaimanapun, beliau telah dihantar pulang ke Kuala Lumpur selepas imigresen mengesahkan larangan masuk beliau sejak BN memerintah masih belum dibatalkan.