Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohd Noor, memaklumkan pihaknya akan menyiapkan lebih 2,000 jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau 13 April depan.
Beliau berkata, AMANAH juga akan dibantu jentera dari negeri lain termasuk Selangor, Melaka dan Johor bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram.
“Setiap kawasan mesti ada 50 jentera. Kita ada 8 kawasan di sini, bermakna setiap kawasan ada 400 petugas.
“Kita akan ‘pulun’ habis-habisan PRK Rantau kali ini. Saya lihat kerjasama sangat penting untuk kita menang pada PRK ini.
“Yang saya sebutkan itu baru jentera tempatan.. belum masuk jentera dari luar lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama AMANAH di Bandar Seri Sendayan, semalam.
Bilik gerakan berkenaan diwujudkan bertujuan, untuk melaporkan aktiviti dan penyusunan gerak kerja parti itu.
Sementara itu, Zulkefly memaklumkan sekiranya PH berjaya memenangi kerusi Dun Rantau nanti, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan.
“Pertamanya di sini (Rantau) ialah isu tanah.. isu ini belum selesai.. peneroka pun belum habis dapat duit lagi.. orang beli tanah bayar tunai, ini bayar secara ansuran.
“Walaupun dekat dengan Seremban, pembangunan Rantau seperti infrastruktur dan jalan raya juga masih lagi ketinggalan.. kemudahan awam pun tak banyak di sini..
“Kalau Datuk Seri Mohamad Hassan menang, dia bukan boleh buat apa-apa perubahan pun. Dia masih tak boleh bertukar kerajaan lagi, kerajaan nasional masih mentadbir,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkefly berkata sekiranya calon PH berbangsa India itu menang di Rantau, Menteri Besar tetap yang sama iaitu, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Jadi, mengenai calon, ia bukanlah isu perkauman. Ini tak ada kena pun India, Cina atau Melayu.. sebab kita nak bagi peluang semua orang bertanding, supaya semua ada wakil,” katanya lagi.