Lebih 90 NGO desak Dong Zong hormati hasrat kerajaan laksana tulisan khat

Oleh MALAYSIADATELINE

Lebih 90 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong memorandum yang dihantar Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) bagi mendesak pihak Dong Zong menghormati hasrat kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan tulisan khat.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Presiden AGRA, Asyraf Mustaqim kepada Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong di hadapan pejabatnya di Seksyen 10 Kajang kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata pihaknya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu rasisma, sebaliknya ia adalah isu nasional iaitu naratif Malaysia untuk menyatukan satu kebudayaan identiti tanah air itu sendiri.

Sebagai contoh katanya, di Jepun, mereka mempunyai jati kebudayaan atas tulisan orang-orang di negara itu sendiri.

“Di India pula, mereka ada tulisan mereka sendiri. Maka di Malaysia, tekad kita ini adalah satu langkah baik, satu pembudayaan nasional sebagai satu identiti yang mana benda ini bukan satu perkara baharu.

”Perkara ini sudah lama berlaku sejak dari zaman sebelum merdeka lagi tulisan jawi ini telah digunakan oleh berbilang bangsa dan kaum.

“Negara kita perlu mempunyai satu jati kebangsaan bertunjangkan kepada usul sebab negara ini dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf menambah, tulisan jawi adalah sebagai salah satu perantara melalui Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Manakala, tulisan jawi itu sendiri pernah menjadi salah satu alat atau aksara yang mana merupakan persuratan dalam kalangan penulisan melayu itu sendiri.

“Tetapi ianya tidak terhad kepada orang Melayu semata-mata. Ianya sebagai satu perlambangan budaya di negara kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Chee Chong yang mewakili pihak Dong Zong pula menyifatkan, sebagai negara demokrasi, masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Hafiz Roslan

“Sebagai satu pertubuhan, kita menghormati semua pandangan dan kami rasa gembira kerana ada beberapa pertubuhan yang menyerahkan memorandum.

“Kita akan serah memorandum ini kepada jawatankuasa pusat untuk berbincang,” katanya.

Wakil Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Hafiz Roslan berkata, tulisan jawi itu tidak mempunyai sentimen yang telah dimainkan oleh pihak lawan, berlawanan dalam Malaysia Baharu iaitu sentimen mengenai agama dan juga rasis.

“Sebenarnya dengan tulisan jawi ini boleh memecahkan tembok antara rasis dan agama.

“Kita melihat bahawa tulisan jawi adalah satu identiti kebangsaan yang perlu kita naikkan dan kami Pemuda AMANAH menyokong penuh hasrat kerajaan dalam isu ini,” ujarnya.

Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan, seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.