Lebih banyak protes sama ada berskala besar mahu pun kecil untuk rakyat melampiaskan kemarahan yang telah lama mereka pendam selama ini akan diadakan selagi kerajaan berterusan menindas, tegas Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Shazni Munir Mohd Ithnin.
Beliau berkata, perbincangan dengan rakan-rakan parti politik, NGO dan golongan muda masih berjalan untuk menggerakkan rakyat keluar dan berjuang menentukan masa depan negara yang lebih baik.
“Masa untuk kerajaan berdolak-dalih telah tamat. Kamu buat apa yang telah kamu janjikan, atau kami buat menurut apa yang kami mahu.
“Insya-Allah, 2016 kita janji akan jadi tahun yang sukar buat kerajaan pimpinan Najib Tun Razak jika mahu terus menyusahkan rakyat dan kekal meneruskan urustadbir kewangan yang curang.
“Semalam minyak telah diumumkan turun. Kita mahu tunggu, apa solusi Perdana Menteri boleh berikan untuk memastikan harga barang yang mencanak naik ketika harga minyak melambung sebelum ini, boleh kembali surut dan turun, sesuai dengan penurunan harga minyak,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.
Menurut Shazni, rakyat juga sedang menantikan manfaat daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April tahun lalu yang dilaporkan hasil kutipannya setakat pertengahan Disember lepas melebihi sasaran iaitu sebanyak RM30 bilion.
“Sebelum pelaksanaan GST, kerajaan pernah bertahan dengan hujah bahawa GST akan menurunkan harga barang. Jadi kami tunggu, bagaimana dengan wujudnya GST dan harga minyak yang telah pun turun, kerajaan mampu menurunkan harga barang,” bidasnya.
Mengulas himpunan #ShutdownSungaiBesi malam tadi, beliau mengucapkan terima kasih banyak atas kerjasama yang diberikan pihak polis sepanjang protes berlangsung.
“Tidak dilupa rakan-rakan media yang sanggup tunggu daripada awal hingga berakhir protes, ketika menjelang detik 12 malam tahun baru,” katanya lagi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownSungaiBesi.
Himpunan #ShutdownSungaiBesi di Plaza Tol Plus Sungai Besi menjelang tahun baharu 2016 malam tadi turut dihadiri Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Faiz Fadzil.
Lebih 100 peserta berhimpun di tepi stesen minyak Petron selepas plaza tol menghala ke Kuala Lumpur kira-kira jam 11 malam sebelum kesemuanya bersurai menjelang tengah malam tanpa sebarang tangkapan polis.
Walau bagaimanapun, kehadiran anggota polis termasuk berpakaian preman jauh lebih ramai sejak petang lagi bagi sebuah himpunan aman dengan kemunculan mereka kira-kira dua kilometer dari lokasi demonstrasi.