KDEB Waste Management Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana dalam proses pembersihan di semua lapan daerah seluruh Selangor, telah pun mengutip hampir 13,699.55 tan sampah, bersamaan dengan impak kewangan sebanyak RM6,031,937.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi membantu kelancaran keluar masuk lori dalam proses pengutipan sampah, jalan-jalan di sekitar Hulu Langat akan ditutup setiap hari selama dua jam.
Penutupan jalan akan bermula pada jam 8 pagi sehingga 10 pagi bagi memberi laluan kepada kenderaan KDEB Waste, kecuali hari minggu dan cuti umum.
“Orang ramai termasuk sukarelawan diminta bersabar dan memilih waktu yang lain sekiranya mahu ke kawasan yang terbabit.
“Bagi status kerja-kerja pembaikan infrastruktur negeri Selangor, analisa awal mengenai infrastruktur yang perlu diselenggara dikategorikan kepada tiga, iaitu darurat, segera dan jangka masa biasa.
“Kerja-kerja pembaikan dalam status darurat memerlukan RM142,380,281, manakala kerja-kerja segera berjumlah RM177,909,255 dan kerja-kerja mengikut jangka masa biasa berjumlah RM49,211,721,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja pembaikan bakal melibatkan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah / Tanah, Pengurusan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.
Keseluruhan kos adalah sebanyak RM369,501,257 dan akan dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan negeri, manakala sebahagian lagi akan dimohon daripada kerajaan Persekutuan agar kerja-kerja pembaikan dapat mula dengan segera, katanya.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, pemakluman tentang pergerakan sukarelawan kepada kerajaan negeri bukanlah suatu kewajipan tetapi atas sebab keselamatan.
Dengan pemakluman ini katanya, tenaga kerja yang ada dapat disalurkan kepada lokaliti yang betul-betul memerlukaan bagi memastikan sumber yang ada dimaksimumkan penggunaannya.
“Bagi membantu permohonan bantuan rakyat, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan yang menubuhkan laman web teguhbersama.com hasil usaha pasukan yang diketuai Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, YB Michelle Ng.
“Platform ini membolehkan warga yang dikesan banjir untuk memohon bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah ataupun sisa sampah yang perlu dikutip akibat barang-barang yang rosak selepas banjir. Semuanya boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web www.teguhbersama.com,” ujarnya lagi.