Ramai umat Islam yang berlumba-lumba untuk buat ibadah terutamanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Ramadan tahun ini melabuhkan tirainya.
Antara yang boleh dilakukan baik yang boleh bersolat atau wanita yang datang haid adalag banyakkan berzikir.
Ikuti perkongsian Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Keistimewaan malam Lailatul Qadar
Umum tahu akan banyak keistimewaan malam Lailatul Qadar, malam yang penuh rahmat dan hanya berlaku sekali dalam setahun.
Ini antara keistimewaan malam Lailatul Qadar.
- Waktu diturunkan Al-Quran
- Malam penuh keberkatan
- Amalan pada malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan
- Turunnya para malaikat dan Jibril
- Malam kesejahteraan
- Diampunkan dosa
- Dicatatkan takdir tahunan
Tanda-tanda malam Lailatul Qadar
Apa yang berlaku pada malam lailatul qadar? Banyak hadis dan khabaran daripada orang-orang soleh telah membincangkan tanda-tanda seperti :
- Malam Lailatul qadar terang dan nyaman, tidak hujan
- Matahari terang dan tidak panas
- Malam cerah bagaikan ada bulan bersinar
- Udara sejuk dan tenang
Doa malam Lailatul Qadar
Rasulullah SAW menganjurkan untuk semua umat Islam memperbanyakkan tata cara baca doa lailatul qadar sambil beritikaf dalam masjid.
Antara doa khusus Lailatul Qadar :
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Rumi : Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii
Maksud : “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
Doa ini Rasulullah ajarkan kepada Saidatina Aisyah supaya memohon keampunan dari Allah SWT.
Doa Memohon Keampunan
اللَّهُمَّ إنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksud : “Ya Allah! Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa ku kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Doa Minta Kemudahan
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksud : “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Doa Agar Diperbaiki Diri
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksud : “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”
Baca juga: Pecutan terakhir! Ini amalan yang boleh anda lakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan