Lee Zii Jia muat naik ilustrasi misteri tanpa kapsyen, ramai risau dan beri kata semangat

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia memuat naik beberapa gambar yang memaparkan ilustrasi aneh di platform Instagram telah mencetuskan tanda tanya orang ramai.

Antara gambar lakaran ilustrasi yang dikongsikan Zii Jia adalah kepala dijahit menggunakan jarum dan benang, individu terbaring di sofa dengan darah mengalir akibat ditusuk benda tajam dan wajah terbakar.

Terdapat juga beberapa lakaran lain memperlihatkan latar belakang gelap bersama sosok individu yang seakan-akan menggambarkan seseorang memiliki fikiran kusut namun tidak diluahkan.

Walau bagaimanapun, pemain kini berada di ranking ke-27 itu tidak menulis sebarang kapsyen dalam perkongsian yang sudah meraih 75,884 tanda suka daripada pengguna Instagram setakat artikel ini ditulis.

Atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut menggantikan ‘display picture’ Instagram atau gambar pemilik akaun dengan foto berwarna hitam sehingga menambahkan persoalan berhubung tindakannya.

Perbualan hangat juga tercetus dengan rata-rata peminat dilihat cuba mentafsir maksud sebenar di sebalik ilustrasi yang sepertinya mempunyai makna tersirat terutamanya berhubung fikiran dan keadaan mental seseorang.

Antara lakaran ilustrasi lain yang dimuat naik oleh Zii Jia dalam hantaran sama.

Ramai juga pengguna menyifatkan perkongsian tersebut sebagai luahan emosi yang terpendam namun itu semua hanyalah terkaan orang ramai manakala makna tersirat mungkin cuma difahami oleh si empunya diri.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati orang ramai meluahkan rasa bimbang dengan kesihatan mental Zii Jia namun tidak lupa untuk mengirimkan doa kepada pemain terbabit.

Ruangan komen itu turut dibanjiri sokongan moral oleh orang ramai dengan kata-kata semangat bersama harapan supaya pemain terbabit terus kuat, tenang dan tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran.

Baca juga: Fila Amir bidas komen netizen yang ‘curious’ kenapa wajah baby tak sama macam ayahnya