Seorang gadis tidak menyangka bakal menerima layanan baik dari pihak imigresen Itali walaupun ‘tersilap langkah’ ketika keluar dari negara berkenaan, baru-baru ini.
Ketika kejadian, gadis dikenali sebagai Baetrisyia itu berada di lapangan terbang dan tersilap beratur ke dalam barisan yang dikhususkan untuk pemegang pasport ‘kuat’.
Baetrisyia difahamkan sedang dalam perjalanan pulang dari Itali ke United Kingdom iaitu negara yang dipilih gadis berkenaan menjadi lokasinya melanjutkan pengajian.
“Saya sepatutnya masuk laluan ‘all pasports’ (semua pasport), tetapi tersilap masuk ke barisan yang telah dikhususkan untuk laluan pasport negara kuat seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya.
“Masalahnya apabila sudah separuh jalan ke dalam barisan, barulah saya perasan. Nasib baiklah masa itu wanita di depan saya juga tersilap pilih laluan. Dia merupakan warganegara Filipina.
“Kami pun teruskan sahajalah beratur. Sebabnya, sudah hampir 15 minit menunggu dalam barisan. Sangat panjang dan saya juga sudah lambat,” katanya menerusi satu hantaran video di laman TikTok.
Pasrah menerima ketentuan, Baetrisyia tidak menyangka pasport Malaysia miliknya diterima oleh pihak imigresen Itali manakala wanita di hadapannya pula telah ditolak.
Nasib tidak menyebelahi wanita warganegara Filipina terbabit apabila diarahkan oleh pihak imigresen Itali untuk beratur semula di laluan panjang untuk ‘semua pasport’.
“Waktu sampai di depan imigresen, orang Filipina itu disuruh untuk keluar dan pergi ke barisan semua pasport. Saya sudah cuak apabila dengar macam itu. Tak akanlah kena beratur semula, penatnya. Saya reda dan cuba nasib.
“Ketika sampai giliran, pegawai imigresen itu mengambil pasport, kemudian tengok muka saya. Selepas itu dia sembang sekejap dengan rakan sekerjanya dalam bahasa Itali, saya cuma boleh faham dia sebut Malaysia.
“Seterusnya pihak imigresen mengecop pasport dan pulangkan semula kepada saya. Tergamam sekejap bila jadi macam itu. Saya bincang dengan kawan dari Amerika Syarikat yang ikut sekali dalam perjalanan ini, macam mana saya boleh terlepas,” ujarnya.
Hasil perbincangan dengan rakannya, gadis tersebut menyimpulkan bahawa pasport Malaysia antara yang dipercayai kerana perjalanannya ke negara lain juga sentiasa lancar tanpa sebarang masalah.
Baca juga: Ditahan reman berhubung kes tular, pelawak dan isteri beri kerjasama