Kehadiran lapisan kering dan keras dipanggil kerak yang melekat pada bahagian bawah periuk setelah nasi ditanak merupakan keadaan menjengkelkan untuk sesetengah orang.
Hal ini kerana kerak yang sudah melekat pada nasi boleh memberikan rasa kurang menyelerakan ketika dimakan selain sukar untuk dibasuh sekiranya ia melekat di dasar periuk.
Namun mereka yang tidak sukakan kerak nasi tidak perlu risau kerana ada jalan penyelesaiannya berdasarkan satu perkongsian yang dimuat naik oleh seorang lelaki di akaun TikTok miliknya.
Menerusi perkongsian video berdurasi satu minit 54 saat, lelaki dikenali sebagai Afas Fahmie itu berkongsi kaedah memasak nasi ‘bebas kerak’ dan mengakui petua tersebut juga boleh mengelakkan berlakunya pembaziran.
“Masak nasi macam ini senang. Tak perlu pening kepala fikirkan tentang periuk kotor. Tinggal bilas sahaja. Sesuai juga untuk orang bujang yang tak makan nasi banyak, boleh masak sedikit sahaja. Barulah tak membazir.
“Selamat mencuba dan semoga bermanfaat kepada semua orang bujang ataupun manusia yang tak mahu cuci kerak di periuk nasi,” katanya sambil menunjukkan langkah-langkah dilakukannya untuk menanak nasi.
Langkah-langkah masak nasi bebas kerak
1. Mula-mula, basuh beras seperti biasa sebelum masukkannya ke dalam satu bekas atau mangkuk kaca yang tahan panas.
2. Kemudian, tambahkan air secukupnya ke dalam mangkuk atau bekas kaca yang berisi beras itu. Sukatannya sama seperti ketika memasak nasi kaedah biasa.
2. Selepas itu, masukkan air ke dalam periuk nasi. Banyak juga tidak mengapa kerana dikhuatiri boleh menyebabkan nasi menjadi kering sekiranya terkurang air.
3. Langkah seterusnya, letakkan mangkuk ke dalam periuk nasi yang sudah diisi air dan pastikan ia terapung dengan stabil. Kemudian bolehlah dimasak seperti biasa.
4. Selepas 15 hingga 20 minit, bawalah keluar nasi yang sudah siap dimasak. Jangan pula biarkan mangkuk terlalu lama dalam periuk kerana bekas kaca itu boleh pecah.
Baca juga: Tak larat nak cabut rumput setiap minggu? Guna trik mudah ni, rumput terus ‘lesap’!