Lelaki berang kakak ipar pandai-pandai buat ‘loan’ rumah, arah adik bayar RM450 setiap seorang

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berkongsi kekesalan apabila kakak iparnya ‘pandai-pandai’ membuat pinjaman perumahan tanpa melakukan sebarang perbincangan dengan keluarga.

Lebih memburukkan keadaan, kakak iparnya itu meminta adik-beradiknya untuk turut membantu melangsaikan ansuran pinjaman dengan bayaran RM450 setiap seorang.

Hal ini berikutan pinjaman perumahan tersebut dilakukan oleh kakak iparnya itu dengan tujuan untuk membeli kediaman baharu buat ibu bapa mentua lelaki terbabit.

Memohon bimbingan untuk menyelesaikan masalah kewangannya, perkara tersebut dikongsikan lelaki terbabit menerusi kumpulan Facebook Tanya Peguam, lapor Mstar.

“Kakak ipar saya merupakan seorang kakitangan bank. Saya hanya bekerja sebagai p-hailing (penunggang perkhidmatan penghantaran) di waktu siang dan pengawal keselamatan pada waktu malam.

“Ipar duai saya boleh dikatakan berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an. Ada juga yang tak berkahwin lagi. Saya dengan isteri dan abang sulung sahaja yang sudah berkahwin.

“Apabila pinjaman untuk rumah itu diluluskan, dia minta kumpulkan duit adik-beradik. Sebanyak RM450 setiap seorang,” katanya yang baru mengetahui tentang pinjaman tersebut selepas ia diluluskan.

Lelaki terbabit turut meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan arahan kakak iparnya itu kerana komitmen bulanannya semestinya akan meningkat mendadak selepas ini.

Bukan sahaja perlu ‘menderita’ selama puluhan tahun lamanya, pengadu juga pasti dirinya tidak dapat menuntut haknya di masa hadapan setelah bayaran diselesaikan.

“Semua pun faham, pinjaman ini bukan macam hutang beli penghawa dingin. Tempoh masa yang begitu lama sampai berpuluh tahun perlu dibayar. Andai kata saya bayar dan tolong sekalipun, apa hak saya pada rumah itu?

“35 tahun kalau didarabkan dengan RM450 setiap bulan, hampir RM150,000 wang saya keluar. Saya bukanlah orang senang. Rumah pun menyewa dengan tiga beranak.

“Mak ayah sendiri pun saya tak sempat nak berjasa. Perlukah kita berjasa kepada orang tua tetapi dalam masa yang sama, kita beri risiko dan susahkan orang lain,” soalnya.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna Facebook menyarankan lelaki terbabit untuk tidak mengikut telunjuk kakak iparnya jika tidak mahu berdepan masalah di masa hadapan.

Ramai juga individu berkongsi pendapat bahawa kakak ipar kepada pengadu hanya mahu mengambil kesempatan selain menyamakan sikapnya dengan institusi bank.

“Macam itu sahaja dia gula-gulakan adik-beradik. Kerja bank sepatutnya jangan ikut perangai macam bank, nak kaut untung sahaja,” kata seorang pengguna yang berang.

“Kalau kakak ipar nak berjasa, dia tanggung sendirilah. Sudahlah pinjaman rumah di atas nama dia. Habis bayar, dia punya (rumah). Biar gaduh sekarang jangan sampai menyusahkan di masa hadapan.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Demi ‘show off’ pada rakan, pemuda gaji RM4,000 tanggung hutang tinggi beli Honda Civic RM100k