Pelakon, Zara Zya mendakwa seorang lelaki tidak dikenali telah bertindak menyamar dan menggunakan namanya untuk memperdaya dan menipu orang awam dengan tujuan mendapatkan wang.
Lelaki terbabit difahamkan akan menyamar menjadi Zara Zaya ketika menghubungi mangsanya secara bertulis dan bercetak dengan menggunakan aplikasi Whatsapp untuk memanipulasi sasarannya.
Pelaku juga mencipta cerita konon pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu memiliki hubungan dengannya malah akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi untuk menyakinkan mangsa.
Sehubungan dengan itu, Zara Zya tampil mendedahkan situasi sebenar termasuk nama dan wajah pelaku dalam satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya supaya tiada lagi yang menjadi mangsa selepas ini.
“Makluman! Lelaki ini telah MENYAMAR sebagai diri saya, Zara Zya dengan menghubungi mangsa secara bertulis dan bercetak melalui whatsapp untuk tujuan menipu dan memanipulasi mangsa bagi mendapatkan wang.
“Dia juga turut meyakinkan mangsa dengan mengatakan bahawa ada projek usahasama di antara Zara Zya dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines. Selain itu, dia juga mencipta cerita konon saya ada hubungan dengannya.
“Katanya kami akan berkahwin tidak lama lagi. SEGALA KENYATAAN TERSEBUT ADALAH TIDAK BENAR DAN FITNAH SEMATA-MATA. Saya tidak pernah mengenali dia,” tegas Zara Zya dalam hantaran itu.
Menurut pelakon drama Dia Imamku itu, dirinya merasa kecewa, malu dan terkejut selepas mendengar cerita dari mangsa mengenai perkara berkenaan yang disampaikan melalui pengurusnya iaitu Jamal Salleh.
Sehubungan dengan itu, Zara Zya tampil membuat satu laporan polis terhadap pelaku yang mana lelaki terbabit diminta membuat permohonan maaf untuk membersihkan namanya.
“Saya tidak pernah mengenali pelaku. Tetapi dia pernah datang beberapa kali ke gerai saya di bazar pada bulan Ramadan lalu untuk membeli kambing perap di dalam kuantiti yang banyak bagi tujuan infaq.
“Pelaku telah dihubungi oleh pihak polis untuk hadir ke balai bagi membantu siasatan. Namun sehingga ke hari ini, dia tidak memunculkan diri dengan pelbagai alasan. Saya telah merujuk perkara ini kepada pihak peguam.
“Sekiranya lelaki ini GAGAL membuat kenyataan maaf secara terbuka, saya akan mengambil tindakan saman fitnah bagi membersihkan nama saya.” Jelas Zara Zya lagi dalam perkongsian sama.
Pihak Zara Zya memberikan tempoh selama 24 jam untuk pelaku membuat permohonan maaf secara terbuka atau tindakan mahkamah akan dikenakan terhadapnya bagi tujuan tuntutan membersihkan nama pelakon terbabit.
Baca juga: Minta Shuk daftar nikah, Fara Salleh bimbang anak tak boleh di binti dengan nama bapa kandung