Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan perjalanan seorang lelaki yang merupakan penjual kuih raya sewaktu menghantar barangan tempahan pelanggannya ke Johor Bahru.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian penonton rakaman tersebut adalah kenderaan dinaiki oleh pemuda berkenaan untuk menghantar kuih raya jualannya kepada pelanggan.
Mana tidaknya, usahawan itu tidak memandu kereta atau menggunakan perkhidmatan kurier seperti kebiasaannya dilakukan untuk menghantar barang sebaliknya memilih menaiki pesawat.
Hal ini kerana usahawan terbabit tinggal di Kuala Lumpur sedangkan lokasi penghantaran pula terletak di negeri berlainan iaitu Johor selain kemahuan pelanggan untuk menerima kuih raya dengan cara sedemikian.
Malah menurut lelaki terbabit, pelanggan yang membuat tempahan itu turut menanggung kos tiket penerbangan membuatkannya tidak keberatan melakukan perjalanan ‘balik hari’ tersebut.
Usahawan itu juga sempat merakam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sebelum memuat naik video berdurasi 28 saat tersebut menerusi satu hantaran di akaun X miliknya.
“Ini adalah kali pertama saya menghantar kuih raya naik pesawat balik hari dari KL (Kuala Lumpur) ke JB (Johor Bahru). Pelanggan sanggup bayar tiket pesawat, jadi kita setuju sahaja,” katanya dalam hantaran tersebut.
Susulan penularan video tersebut, pemuda itu menerima pelbagai soalan daripada pengguna platform X termasuk jumlah kos tiket pesawat serta tempoh perjalanan untuk menghantar kuih raya tersebut.
Menurut lelaki itu, perjalanan dari rumahnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil masa selama satu jam manakala pesawat dinaiki dalam tempoh 45 minit untuk sampai ke Johor Bahru.
“Pesawat dinaiki di dalam tempoh 45 minit sahaja. Harga tiket pula murah jugalah masa itu, sekitar bawah RM100,” ujar pemuda terbabit ketika menjawab soalan pengguna platfrom mengenai perjalanan tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna menduga bahawa kuih raya jualan lelaki tersebut semestinya enak sehingga pelanggan dengan rela hati membayar tiket pesawat.
Dalam pada itu, terdapat juga pengguna berkongsikan penemuannya bahawa harga tiket pesawat kini semakin murah termasuklah di musim perayaan jika penumpang membuat tempahan dengan lebih awal.
Baca juga: Gedung terkenal buat buffet tapi ‘staff’ yang cedokkan, netizen kata dah macam asrama