Lelaki kantoi ada simpanan RM30,000, panik isteri minta cerai sebab tak bagi duit makan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki tidak menyangka duit berjumlah RM30,000 yang disimpan tanpa pengetahuan isterinya boleh menjadi punca keretakan dalam rumah tangganya.

Menerusi satu perkongsian di platform X, lelaki berusia 28 tahun itu berkata bahawa segala perbelanjaan rumah termasuk bil utiliti dan barang dapur ditanggung olehnya.

Walaupun duit isterinya tidak pernah disentuh, namun wanita berkenaan masih tidak berpuas hati ekoran suaminya enggan memberi duit belanja makan di tempat kerja.

Pergolakan rumah tangga mereka semakin meruncing apabila lelaki terbabit ‘kantoi’ membelakangkan isterinya dengan menyimpan duit simpanan sebanyak RM30,000.

“Usia perkahwinan kami setahun lebih, masih tiada anak. Aku bergaji RM2,500, isteri pula RM2,000. Bil rumah dan segala keperluan termasuklah barang dapur guna duit suami. Duit isteri tak pernah sentuh.

“Isteri marah sebab tak berikan duit belanja makan pergi kerja. Kata isteri, nafkah makan jadi tak lengkap. Selepas itu, aku kantoi ada simpanan RM30,000. Marahlah isteri.

“Padahal tujuan simpan duit itu adalah untuk membina rumah. Sekarang isteri kerap minta cerai. Sudah dua kali dia buat permohonan cerai,” akui lelaki berkenaan tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Lebih memburukkan keadaan, keluarga lelaki terbabit juga tidak memiliki hubungan yang baik dengan isterinya sehingga mengundang pergaduhan besar antara mereka.

Sudah hilang arah untuk menyelamatkan rumah tangga sendiri, lelaki berkenaan tidak dapat membuat keputusan sama ada harus melepaskan isterinya ataupun sebaliknya.

“Isteri tak boleh ‘ngam’ dengan mentua. Ibu bapanya dan mak ayah saya bergaduh. Pergaduhan (antara besan) itu memburuk sehingga laporan polis terpaksa dilakukan.

“Selepas itu, keluarga mentua bawa isteri saya keluar daripada rumah kelamin kami (tanpa mendapat keizinan). Persoalannya, patutkah saya melepaskan dia?

“Aku buntu macam mana nak selamatkan rumah tangga. Kalau ikutkan hati, nak berbaik dan masih sayang. Tetapi kalau ikut situasi memang susah nak berbaik,” jelas lelaki terbabit dalam perkongsian itu.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna X menasihati agar lelaki itu melepaskan isterinya kerana masalah mereka tidak akan selesai dengan campur tangan keluarga.

Baca juga: Wanita terkejut duit tabung habis dimakan anai-anai, duit RM1 selamat pula