Lelaki kongsi cara selamatkan peti ais jika ditenggelami air banjir, langkah pertama paling penting

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerosakan alatan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh adalah antara perkara yang paling merisaukan setiap kali kediaman dinaiki air banjir terutamanya bagi penduduk di Pantai Timur.

Peka dengan kebimbangan orang ramai itu, seorang lelaki tampil berkongsi panduan sebagai usaha menyelamatkan peralatan elektrik seperti peti ais sekiranya ditenggelami air banjir.

Menerusi satu rakaman dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Kelate Loni, lelaki itu memaklumkan bahawa peralatan tersebut masih boleh diselamatkan jika dicuci dan dikeringkan dengan betul.

Berikut kami kongsikan langkah-langkah berdasarkan panduan itu yang boleh diikuti orang ramai untuk menyelamatkan peti ais tanpa perlu mengeluarkan belanja dengan syarat dilakukan dengan berhati-hati.

Langkah-langkah bersihkan peti ais

1. Perkara pertama adalah langkah yang penting untuk memastikan peralatan tersebut boleh digunakan selepas banjir iaitu tutup suis. Sebaik sahaja air naik, terus tutup suis peti sejuk.

2. Jangan sesekali mengambil tindakan menghidupkan suis peti ais sebaik sahaja air banjir surut selagi peralatan tersebut tidak dibersihkan dan dibiarkan kering sepenuhnya terlebih dahulu.

3. Mula-mula bersihkan peti sejuk daripada sebarang selut atau pasir daripada bahagian dalam hingga ke luar. Boleh dijirus dengan air paip sekiranya mahu proses berjalan lebih cepat.

4. Langkah seterusnya adalah periksa bahagian belakang peti ais sekiranya memiliki kotak PCB atau ‘printed circuit board’. Pastikan kotak itu bersih daripada tanah dan juga lumpur.

5. Kemudian biarkan peti ais kering sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari. Sekurang-kurangnya, selama lima hari. Apabila sudah betul-betul kering, cuba hidupkan suis. Insya-Allah, boleh berfungsi seperti biasa.

Selamat mencuba! Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya bagi mereka yang terjejas akibat banjir.

Baca juga: Jana pendapatan hampir RM60k setahun, lelaki pilih sertai IPR INSAN lepas hilang pekerjaan