Siapa sangka, permukaan jubin di dalam tandas akan kelihatan lebih bersinar sekiranya dibersihkan dengan menggunakan sabun pencuci pinggan.
Kaedah ini juga dikatakan mampu menjimatkan wang berikutan harga sabun pencuci pinggan yang berada di pasaran lebih murah berbanding kos cecair pembersih tandas.
Berjaya mencuri perhatian ramai, panduan mudah untuk membersihkan jubin tandas menggunakan cecair sabun pencuci pinggan ini dikongsi oleh lelaki dikenali sebagai Danial Zain.
Menerusi satu perkongsian menerusi platform kumpulan Facebook iaitu Tukang Apa Hari ini, Danial memaklumkan bahawa ilmu tersebut diperolehi daripada pengalaman dan uji kaji yang dilakukannya sendiri.
Jelas Daniel, cecair pembersih tandas akan menyebabkan permukaan jubin di dalam bilik air itu menjadi lebih kesat malah lantai atau dindingnya juga mudah untuk kotor semula selepas dicuci.
“Berdasarkan pengalaman aku sebelum ini yang telah menggunakan pelbagai jenis dan jenama cecair pembersih tandas. Aku sedar, lama-lama jubin akan menjadi lebih kesat dan cepat kotor balik.
“Pelik kan. Tetapi selepas menyelam (mengkaji) sedikit, aku cuba pula pakai sabun pencuci pinggan. Jenama ikut pilihan masing-masing. Aku pilih pencuci yang mudah didapati di kedai serbaneka.
“Memang tak pakai sabun pencuci tandas selepas ini. Jimat juga sebabnya sabun pencuci tandas ini kadang-kadang harganya mahal. Sabun pencuci pinggan pula berapa sen sangatlah,” katanya.
Menurut Danial, kaedah tersebut menjadikan jubin tandasnya kelihatan lebih bersih malah kotoran atau kulat juga akan mengambil masa lebih panjang untuk timbul semula.
Sempat berseloroh ekoran tiada pautan produk pencuci kerana tidak menerima sebarang bayaran komisen, Daniel bagaimanapun berharap perkongsian itu dapat memberi manfaat.
“Selepas pakai sabun pencuci pinggan, lantai kamu semua akan rasa sangat bersih! Kulat atau kotoran juga lambat naik. Tetapi kena sental juga ketika bersihkan. Yang penting, jubin tak rosak. Sangsi? Cubalah sendiri.
“Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca. Aku juga tak diberi komisen dari mana-mana pihak. Jadi tak boleh bagi pautan produk. Pandai-pandailah kamu semua cari sendiri.” Selorohnya.
Baca juga: Tak perlu sakit kepala! Guna 1 bahan ni je, rumput liar boleh cepat mati