Seorang wanita tidak menyangka, konflik bersama bekas suami yang berlaku ketika mereka masih berkahwin bakal berlanjutan selepas rumah tangga pasangan itu berakhir dengan penceraian.
Wanita itu mendakwa masalah mereka bermula apabila bekas suaminya berlaku curang dengan perempuan lain yang lebih muda dan masih berada di bangku sekolah sebelum membuat keputusan untuk bercerai.
Lelaki itu bagaimanapun terus menggangu ketenteraman hidupnya secara lisan dengan menghantar mesej semata-mata untuk mengutuk fizikal bekas isterinya selain turut didakwa merosakkan kereta wanita terbabit.
Dalam pesanan mesej itu, bekas suaminya memberitahu bahawa tiada lelaki lain akan menerima wanita terbabit selepas bercerai kerana memiliki parut pembedahan dan regangan kulit selepas melahirkan dua anak mereka.
Tangkap layar memaparkan mesej kutukan itu kemudian dikongsikan oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya tanpa mendedahkan identiti bekas suaminya.
“Awak ingat boleh sakitkan hati saya lagi? Inilah kata-kata bekas suami kepada bekas isterinya. Padahal dia curang dahulu, tetapi dia pula yang paling tersakiti,” kesal wanita itu dalam perkongsian tersebut.
Pesanan mesej itu bagaimanapun dipadam oleh bekas suaminya selepas wanita terbabit membalas dengan mengatakan bahawa dirinya bakal melaporkan punca kerosakkan keretanya kepada pihak berkuasa.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa kesal kerana lelaki berkenaan tergamak mengutuk orang yang pernah sebahagian dari hidupnya sedemikian rupa.
Perkara tersebut seharusnya tidak berlaku lebih-lebih lagi kesan parut itu turut melambangkan pengorbanan yang dilakukan oleh wanita pernah bergelar isterinya untuk melahirkan anak mereka di muka bumi ini.
“Bekas suami awak cakap macam ini? Ayah kepada anak-anak yang anda lahirkan dan berikan parut pembedahan serta regangan kepada kulit? Mujur sudah berpisah. Awak berada di tempat yang selamat sekarang,” kata seorang pengguna.
“Parut yang disebabkan oleh mengandungkan anak ini adalah salah satu pengorbanan besar oleh seorang wanita ya. Lelaki yang menghargai akan semakin jatuh cinta dan sayang kalau melihatnya. Bekas suami awak ini pula macam spesis gila talak.” Kesal pengguna lain.
Baca juga: Naik bas ekspres tapi degil tak nak pakai ‘seatbelt’? Siap sedia bayar RM300