Lelaki Malaysia dakwa kos sara hidup di Singapura lebih murah, pelik rakyat tempatan merungut

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki warganegara Malaysia mendakwa kos sara hidup di Singapura sebenarnya jauh lebih murah selepas mengambil keputusan untuk bekerja dan mencari rezeki di negara seberang tambak itu.

Menerusi satu hantaran dimuat naik platform Facebook, lelaki itu mendakwa perlu mengeluarkan belanja hingga mencecah RM60 untuk makan setiap kali keluar rumah ketika tinggal di Kuala Lumpur.

Situasi bagaimanapun berbeza ketika berada di Singapura di mana lelaki itu berpendapat perbelanjaan makanannya malah lebih murah berikutan gerai dan restoran di negara berkenaan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Jelas lelaki terbabit, perkara ini berlaku kerana penduduk di Singapura mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi di mana manfaatnya turut dirasai oleh pengunjung negara tersebut.

“Ketika tinggal di Kuala Lumpur dengan kuasa beli rakyat tempatan, saya perlu membelanjakan wang dari RM30 hingga RM60 untuk membeli makanan dan jajan setiap kali keluar rumah.

“Walaupun pilih untuk makan di gerai murah, saya tetap perlu mengeluarkan duit sebanyak RM12 untuk membeli nasi ayam. Namun segala-galanya benar-benar murah di Singapura selepas saya datang mencari rezeki di sini.

“Makanan segera, hidangan yang dijual penjaja di gerai dan restoran memang benar-benar murah dengan kuasa beli rakyat tempatan (Singapura),” kata lelaki berkenaan dalam hantaran itu.

Dalam perkongsian yang sama, lelaki itu turut meluahkan rasa hairan apabila rakyat tempatan Singapura sering kali mengeluh terutamanya mengenai kenaikan cukai apabila kehidupan di negara tersebut lebih selesa.

Lelaki itu juga berpandangan bahawa kerajaan Singapura sudah berusaha sehabis baik untuk memastikan rakyat tempatan terutama dari golongan berpendapatan pertengahan tidak perlu mengeluarkan banyak belanja.

Perkongsian yang dimuat naik menerusi laman kumpulan Facebook, ‘Complaint Singapore’ itu bagaimanapun mengundang perbincangan di kalangan rakyat tempatan yang tidak bersetuju dengan pendapat lelaki berkenaan.

Rata-rata pengguna berpendapat bahawa perkongsian itu hanyalah sekadar ‘omong kosong’ yang tidak masuk akal ekoran kos sara hidup di negara itu sememangnya tinggi untuk rakyat tempatan.

“Saya pernah tinggal di Johor Bahru lebih dari 10 tahun. Apa yang awak katakan ini (kos sara hidup di Singapura rendah) tidak masuk akal. Jangan cuba kongsikan omong kosong anda di Facebook,” kata seorang pengguna.

“Mari kita berhenti memberikan respon kepada pengguna media sosial yang sengaja menimbulkan kekacauan di antara negara, kaum dan kepercayaan agama.” Kesal pengguna lain.

Baca juga: Duit KWSP habis dekat ‘renovation’, kenduri anak, pesara akui kini hidup lebih berjimat