Cabul 3 wanita di hari yang sama, lelaki OKU rupanya baru keluar hospital ‘Mesra’

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori kurang upaya mental telah ditahan polis baru-baru ini.

Suspek yang dipercayai penagih dadah itu ditahan setelah mencabul kehormatan tiga wanita di hari yang sama sekitar pekan Tuaran, Sabah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perlakuan suspek terhadap salah seorang mangsa turut ditularkan di media sosial.

Menerusi rakaman yang beredar, lelaki yang kurang siuman itu sanggup mencabul seorang wanita di sebuah tangga kedai.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga bertindak mencuri wang selepas mencabul salah seorang wanita dengan melarikan beg tangan mangsa.

Baru tiga hari dikeluarkan daripada hospital, suspek merupakan pesakit berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan polis oleh tiga wanita.

Mengaku telah dicabul suspek pada hari yang sama, mangsa-mangsa difahamkan berusia antara 15 hingga 31 tahun.

“Pada 24 Jun, kira-kira jam 1 tengah hari hingga 4 petang bertempat di pekan Tuaran, seorang lelaki tidak dikenali telah mencabul kesemua mangsa.

“Hasil siasatan awal di kalangan mangsa mengatakan, suspek datang secara tiba-tiba memeluk mangsa dari arah belakang dan mencabul mangsa.

“Suspek juga bertindak agresif merampas beg tangan dan terus melarikan diri menyebabkan mangsa mengalami kerugian wang tunai,” katanya.

Noraidin memaklumkan, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan setelah tangkapan dibuat juga mendapati suspek positif dadah.

Baca juga: Patah balik ambil kasut yang tertanggal, anak kecil ini tetap berjaya muncul juara lari pecut