Seorang lelaki warga Pakistan sedang giat diburu pihak polis ekoran dipercayai terbabit dalam beberapa siri kes liwat dan amang seksual terhadap empat lelaki termasuk kanak-kanak di Seksyen 27 dan 28 di Shah Alam, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian itu bermula April lalu hingga kini membabitkan mangsa yang berusia sembilan, 13, 14, dan 19 tahun.
Kesemua jenayah itu dipercayai dilakukan oleh individu sama berdasarkan modus operandi serupa yang mana suspek pada mulanya akan meminta pertolongan daripada mangsa lalu dibawa ke kawasan sunyi.
Mangsa-mangsa yang terpedaya kemudian akan diliwat ataupun dicabul di kawasan tersebut oleh suspek berusia 25 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan terbabit, lapor Berita Harian.
“Suspek yang diburu dikenali sebagai Muhammad Hassan berusia 25 tahun dan tidak bekerja. Sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka yang mana dua mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dua lagi kertas siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika di sabitkan bersalah,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mohd Iqbal memaklumkan bahawa suspek itu dipercayai telah melarikan diri ke negeri utara Malaysia dan mana-mana individu yang memiliki maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan pihak polis.
Orang awam boleh menyalurkan maklumat itu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor, Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895.
Baca juga: Dua beradik ambil semula ibu selepas malu dikecam hantar ke rumah orang tua