Lelaki pinjam along nak tunjuk kaya dekat bini baru, pakai nama bekas isteri sebagai penjamin

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang lelaki tergamak meletakkan nama bekas isteri yang telah lama diceraikan sebagai penjamin ketika membuat pinjaman wang tidak berlesen ataupun ‘Ah long’.

Perkara lebih mengejutkan adalah pinjaman itu bukanlah dibuat oleh lelaki terbabit atas keperluan yang mendesak sebaliknya bertujuan semata-mata untuk ‘berlagak kaya’ di hadapan isteri baru dinikahinya.

Namun perbuatan itu terbongkar selepas pihak ‘Ah long’ bertindak menghubungi bekas isterinya untuk meminta bayaran selepas lelaki terbabit gagal berbuat sedemikian dalam tempoh yang telah dijanjikan.

Hal ini mendorong wanita itu tampil mendedahkan sikap bekas suaminya menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.

“Bekas suami aku ini tak guna tahu. Aku memang jijiklah setiap kali teringat tentang dia. Tetapi itulah, dia tak habis-habis menyusahkan aku. Boleh pula berhutang dengan Ah long untuk acah-acah kata dekat isteri baharu.

“Selepas itu letakkan nama aku sebagai penjamin. Kenapa aku? Kenapa bukan isteri baharu kau yang jadi penjamin? Aku rasa macam nak dedahkan perangai jijik dialah,” kesal wanita terbabit dalam perkongsian itu.

Dalam hantaran sama, wanita terbabit turut memuat naik tangkap layar perbualan melalui aplikasi Whatsapp yang mana pihak Ah long memintanya bertanggungjawab atas pinjaman berkenaan ekoran statusnya sebagai ‘isteri’.

Situasi itu sememangnya cukup mendebarkan berikutan Ah long terbabit bukan sahaja mengetahui nama penuh sebenarnya malah turut melampirkan maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan miliknya.

“Takut bini ke? Perangai kaki perempuan tunjuk hebat tak habis lagi ke? Nak meminjam Ah Long untuk acah hidup mewah, terpulang. Tetapi kenapa masih berani letakkan nama aku sebagai pinjamin? Kena ganggu keluarga aku?

“Adakah hidup kau masih dibayangi kehidupan mewah dengan aku? Sebab dahulu aku tanggung semua kan? Jangan main gila dengan aku. Kes mahkamah kita masih belum selesai, nak aku tambah lagi ke?,” tulisnya.

Difahamkan, lelaki terbabit membuat pinjaman sebanyak RM1,400 pada 29 April dan sepatutnya membuat bayaran 6 Mei lalu dipercayai berjumlah RM2,000 namun gagal berbuat sedemikian malah bertindak menghilangkan diri.

Wanita itu turut mengakui sudah lama bercerai bahkan telah mendirikan rumah tangga baharu dengan lelaki lain namun merasa hairan mengapa bekas suaminya masih menganggu ketenteraman hidupnya.

“Hantar nama dan kad pengenalan aku sebagai penjamin. Memang hati masih sayang dengan aku ke sampai masih mengaku isteri kau? Iyalah, isteri baharu selalu minta itu ini. Macam mana nak jadi penjamin.

“Aku tak akan tolong bayar macam dahulu ya. Belas ihsan ini sudah tiada lagi sejak kau cakap bukan-bukan tentang anak aku. Malulah, berlagak kaya sangat. Tetapi RM1,400 nak pinjam Ah long. Selepas itu suruh bekas isteri bayar.

“Tunggu tularkan muka kau sekali. Orang yang menikmati pinjaman itu bukan aku. Tetapi aku pula yang kena bayar?.” Luah wanita terbabit dalam hantaran tersebut.

Baca juga: Sanggup catu perbelanjaan demi pergi umrah, jemaah terduduk lepas tahu ditipu