“Tiada jalan pintas untuk berjaya”, itu pengajaran pahit yang terpaksa diterima oleh seorang lelaki selepas wang simpanan berjumlah RM10,000 miliknya lebur angkara perdagangan mata wang asing (Forex).
Difahamkan, detik hitam dalam hidup lelaki terbabit bermula sekitar beberapa bulan lalu sejurus timbulnya rasa ‘muak’ atau bosan dengan pekerjaan yang dilakukannya pada waktu pejabat (9 pagi hingga 5 petang).
Untungnya sebelum melakukan sebarang perubahan dalam hidupnya, lelaki terbabit sempat menyiapkan diri dahulu dengan mengumpulkan wang berjumlah RM10,000 untuk dijadikan simpanan.
Namun sayangnya, kesemua wang simpanan tersebut lebur selepas lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk menceburi bidang Forex malah sanggup meletakkan jawatan daripada pekerjaannya itu.
“Saya mahukan perubahan dan menyangka perdagangan Forex boleh menjadi tiket untuk saya keluar. Jadinya saya terus meletakkan jawatan dan terjun ke dalam pasaran Forex.
“Saya berdagang dengan semua jenis pasangan mata wang seperti EURO/DOLLAR Amerika Syarikat, POUND Britain/YEN Jepun, dan DOLLAR Amerika Syarikat/CHF (Franc Swiss) menyangka boleh membuat keuntungan dengan cepat.
“Pada suatu hari, saya memutuskan untuk membuat satu perdagangan dalam nilai besar. Saya meletakkan jumlah yang tinggi untuk pasangan mata wang asing POUND Britain/YEN Jepun dan berharap nilainya akan meningkat,” kata pemuda itu.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pemuda terbabit apabila nilai tukaran pasangan mata wang asing tersebut malah merudum sehingga menyebabkan kerugian yang tinggi hanya dalam tempoh satu jam sahaja.
Menempuh jalan yang sukar untuk belajar dari kesilapan, perkongsian tersebut dibuat oleh lelaki itu menerusi satu hantaran dimuat naiknya sendiri di platform Reddit tanpa mendedahkan identiti sebenar.
“Dalam masa satu jam sahaja, nilai pasangan mata wang POUND Britain/YEN Jepun merudum secara drastik. Ia seperti mimpi buruk. Daripada membawa keuntungan, perdagangan saya berubah kepada kerugian besar.
“Seram saya apabila melihat wang simpanan RM10,000 lebur begitu sahaja. Cuba jugalah bertahan dan berharap nilainya akan meningkat semula. Tetapi kerugian malah semakin bertambah. Pada akhirnya saya hilang kesemua wang simpanan.
“Ia memang satu bentuk pengajaran yang sukarlah. Saya belajar pasaran Forex ini tidak dapat diramalkan dan tidak semudah yang dilihat. Sekarang, saya terpaksa mulakan kembali hidup dari awal dan masih memikirkan langkah seterusnya.” Ujarnya.
Baca juga: Terima RM4,000 masa berlakon ‘Anak Bapak’, Ruminah Sidek dedah beli kebun durian tahun 1968