Tindakan seorang suami menampar isterinya di hadapan khalayak ramai di pintu masuk sebuah pusat beli-belah telah mengundang kecaman hebat di platform media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, perbuatan lelaki berkenaan bukan sahaja disaksikan oleh ramai pengunjung malah turut dilakukan di hadapan seorang kanak-kanak dipercayai anak kepada pasangan tersebut.
Lebih mengejutkan, kejadian itu juga sempat dirakamkan oleh lensa kamera ketika seorang pengguna media sosial secara kebetulan sedang melakukan sesi siaran langsung di tempat kejadian.
Rakaman sesi siaran langsung itu kemudian dimuat naik di akaun TikTok @smrmotorsport sebelum ditular semula di pelbagai platform lain termasuklah laman X dengan harapan mendapat perhatian pihak berkuasa.
Difahamkan, kejadian yang terakam di dalam sesi siaran langsung berkenaan berlaku pada hujung minggu lalu di sebuah pusat beli-belah terletak di Kota Warisan, Sepang, Selangor.
“Tengah buat siaran langsung, tiba-tiba seorang Kakak ini kena lempang dengan seorang lelaki. Mungkin suami dia tetapi tidak perlulah sampai naik tangan. Harap pihak berkuasa ambil tindakan.
“(Perbuatan dilakukan) depan khalayak ramai pula itu,” kata pengguna X yang memuat naik rakaman berkenaan di platform tersebut meluahkan rasa kesal di atas tindakan suami terbabit.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna mengecam perbuatan suami terbabit dan berharap pihak polis segera melakukan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pelaku.
Ramai juga pengguna tampil mengingatkan para isteri untuk tidak terlalu ‘berlembut hati’ apabila suami mula naik tangan dengan memberi kemaafan sebaliknya terus membuat laporan polis atau memohon bantuan dari pihak berwajib.
Dalam perkembangan terbaharu, polis mengesahkan bahawa pihaknya kini sedang menjejaki pasangan suami isteri terbabit susulan menerima satu laporan berhubung kejadian dalam rakaman itu.
Pengadu hadir membuat laporan bahawa wanita dalam rakaman itu adalah kakak kandungnya berusia 35 tahun manakala lelaki yang memukul adalah suami mangsa berumur di dalam lingkungan 50 tahun.
Baca juga: Betul ke kita tak boleh makan biskut sembahyang orang Cina ini?