Punyalah takut akan isteri sebab menghabiskan gaji, seorang pengawal keselamatan sanggup buat laporan polis palsu.
Lelaki tersebut mendakwa dirinya dirompak dua lelaki namun siasatan polis mendapati duit gajinya habis malah turut memberi rakan wanita pinjam duitnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata pembohongan lelaki berusia 65 tahun itu terbongkar selepas siasatan lapor New Straits Times (NST).
“Lelaki itu mendakwa dia mengeluarkan wang di sebuah stesen minyak di Kijal. Dia mendakwa dalam perjalanan pulang ke Teluk Kalong.
“Keretanya kemudian dihalang oleh seorang lelaki Rohingya yang meminta bantuan untuk membawa rakannya sedang terbaring ke sebuah klinik.
“Dia mendakwa ketika keluar dari kenderaan, lelaki Rohingya itu mengacukan pisau ke arah belakangnya.
“Manakala lelaki yang sedang terbaring itu berdiri dan mengacukan parang ke perutnya,” ujarnya seperti dipetik NST.
Katanya, pengawal keselamatan tersebut mendakwa lelaki Rohingya itu mengambil RM1,100 dari poketnya, kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Selepas siasatan, lelaki itu mengakui rompakan itu tidak pernah berlaku.
“Dia membuat laporan palsu itu kerana terdesak dan takut untuk memberitahu isterinya bahawa dia telah menghabiskan keseluruhan gajinya termasuk perbelanjaan sara hidup mereka.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.