Lelaki tergamak palsukan kematian ibu, guna sijil ‘Google’ sebab nak ponteng kerja!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang anak tergamak memalsukan kematian ibu kandungnya sendiri demi mendapatkan pelepasan cuti daripada majikannya ekoran malas bekerja.

Lebih memburukkan keadaan, pemuda terbabit turut menggunakan situasi itu untuk meraih simpati rakan sekerja dan meminjam wang konon mahu pulang ke kampung.

Pendedahan mengenai sikap tidak bertanggungjawab lelaki berkenaan dibuat oleh rakan sekerjanya menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform Threads.

“Pada hari Sabtu, rakan sekerja aku ponteng kerja dengan alasan motor rosak. Oleh kerana dia cakap sudah pergi kedai motor, kami tanyalah apa puncanya. Katanya clutch (klac) putus.

“Keesokkan harinya pula, dia ponteng lagi. Namun kali ini alasannya bahaya sedikit. Katanya mak dia meninggal dunia dekat Sarawak. Semua terkejutlah. Sebagai rakan sekerja, kasihan pun ada.

“Jadi dia datang (tempat kerja) serahkan kunci kedai dan baju. Dengan tak terurus, pakai baju terbalik dan menangis teresak-esak. Siapa tak sedih kan? Dia cerita, ayah dan adiknya terus pergi Sarawak. Tinggallah dia seorang di Kuala Lumpur,” tulisnya.

Selepas memaklumkan khabar kematian tersebut, lelaki berkenaan sempat meminta untuk dipinjamkan wang dari rakan sekerja konon mahu membeli tiket kapal terbang.

Helah lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas majikan mereka memeriksa bukti sijil kematian diberikan susulan kejadian yang didapati diambilnya dari carian Google.

“Katanya khabar kematian mak dia pun sepupu yang beritahu, bukan keluarganya sendiri. Malah sebelum naik kapal terbang, dia sempat nak pinjam duit aku dengan senior sebab tak cukup duit pergi Sarawak.

“Tetapi hari ini pengurus aku ceritalah perkara sebenar. Sebabkan masih percayakan dia, pengurus minta sijil kematian ibunya. Belum ada niatlah nak buang, sekali ini yang dia berikan kepada pengurus kami.

“Sijil kematian Sarawak. Pengurus pula memang pandai bab-bab buat carian dekat Google. Aku macam biar betik budak ini. Berani betul buat cerita macam ini,” katanya yang turut memaklumkan rakan sekerjanya itu sudah dibuang kerja.

Difahamkan, helah lelaki berkenaan kantoi apabila rakan sekerjanya itu langsung tidak menyunting maklumat di dalam sijil kematian tersebut termasuk tarikh meninggal dunia yang direkodkan pada 2011.

Baca juga: Pemilik rumah sewa ‘urut dada’ tengok bilik tidur pelajar lelaki, tak lalu tengok tilam hitam berdaki