Seekor lembu yang didakwa ditambat pada tiang elektrik dilaporkan ‘terkorban’ sebelum sempat disembelih akibat terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian video dimuat naik di platform Facebook menerusi laman Anak Perelih, kelihatan seekor lembu berwarna putih terbaring kaku tidak bernyawa di lokasi kejadian berhampiran dengan tiang elektrik.
Kenderaan milik agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama beberapa anggota juga dilihat berada di lokasi dipercayai untuk memastikan kawasan itu bebas daripada sebarang risiko renjatan.
Rakaman berdurasi 30 saat itu dikongsi untuk memupuk kesedaran orang ramai dalam memastikan keselamatan haiwan ternakan yang akan dikorbankan supaya kejadian serupa tidak berulang lagi.
“Jangan duduk wat lagu ni na (buat macam ini lagi ya). Depa pergi tambat lembu dekat tiang elektrik. Short habis kena karan (sekiranya berlaku litar pintas, habis terkena renjatan). Tak sempat nak korbankan (lembu),” tulis pemilik akaun di ruangan kapsyen.
Walau bagaimanapun dalam perkongsian sama, pemilik akaun tersebut tidak memberikan sebarang maklumat lanjut terutamanya mengenai waktu serta lokasi kejadian berkenaan berlaku.
Setakat artikel ini ditulis, video tersebut sudah ditonton sebanyak 875,000 kali oleh pengguna Facebook dan 5,000 daripadanya turut meninggalkan tanda suka di hantaran berkenaan.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa simpati selepas melihat kejadian menimpa lembu tidak berdosa itu selain menyelar tindakan pihak tertentu yang menambat haiwan berkenaan di tiang elektrik.
Ramai juga pengguna berkongsi pendapat sama bahawa sudah tiba masanya suatu lokasi khusus disediakan untuk meletakkan haiwan korban sebelum disembelih tanpa mengabaikan keselamatan dan keselesaannya.
Baca juga: Remaja tak sedar pun menghilang 31 jam, kongsi cerita sebenar apa yang jadi kepadanya