Lepas letak syarat kena beli barang vendor sebelum beli Crepe, kedai Kieda kini sunyi sepi tiada pelanggan?

Oleh KIM SYAZIE

Usahawan tempatan, Kieda Crepe baru-baru ini mengumumkan sistem vendor di mana dia meletakkan syarat untuk pelanggan membeli barangan vendor sebelum membeli barangan jualannya.

Susulan itu, dia menerima banyak kritikan terutama dari pelanggannya sendiri kerana mereka perlu berhabis lebih RM50 untuk membeli Crepe jualannya.

Baru-baru ini, Kieda memuat naik satu hantaran video memaparkan keadaan terkini kedai pencuci mulutnya yang terletak di Penang.

Dalam video itu, Kieda atau Siti Nur Khalieda Yusra mendedahkan kedainya yang tular dengan menggunakan sistem support vendor itu berdepan penurunan jumlah kehadiran pelanggan.

Dapat dilihat, suasana lengang di hadapan kedai yang mana situasi tersebut cukup berbeza dengan sambutan luar biasa yang diterimanya sebelum ini.

“Mana pergi semua orang ni? Bezanya orang membeli dulu dan sekarang.

“Semua duduk rumah ke? Buat cekodok ke? Kedai Kieda sistem dia support vendor baru support Kieda tau,” tulisnya di ruangan kapsyen video itu yang dirakam pada waktu malam.

Video terbabit mendapat pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya meninggalkan komen mengenai sistem support vendor yang diamalkan dalam kedainya.

Malah, netizen turut memberi alasan kenaikan harga barang ketika ini membuatkan mereka lebih berhemah apabila berbelanja.

Sebelum ini, nama Kieda kembali naik susulan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus mengulas mengenai hukum peniaga meletakkan syarat untuk membeli barangan vendor sebelum membeli barangan jualannya.

Namun, Kieda menegaskan dia tidak pernah memaksa pelanggan membeli makanan yang dijual di kedainya dan sepatutnya semua pelanggan sudah sedia maklum mengenai cara jualannya sebelum membeli.

Adat berniaga, pasti akan ada pasang surutnya. Yang penting kena tabah dan teruskan berusaha.

Baca juga: “Basuhlah kurma sebelum makan” – Wanita kongsi rupa sebenar kurma di ladang, tak sangka penuh pasir