Lim Guan Eng saman Muhyiddin berhubung isu cukai Yayasan Albukhary

Oleh MALAYSIADATELINE

 Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng hari ini memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah yang mengaitkannya berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Lim, 62, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Guok Partnership di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhyiddin, 75, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, bekas Menteri Kewangan itu mendakwa Muhyiddin telah mengeluarkan tiga kenyataan memfitnah membabitkan plaintif dengan isu pembatalan pengecualian cukai ke atas yayasan itu pada 9, 11 dan 12 Mac lepas di laman Facebook milik defendan, yang kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita pada hari sama.

Menurut Lim, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat selepas Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac dan dibebaskan pada hari sama (9 Mac) kerana beliau mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya.

Pengerusi DAP itu mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam serta sengaja mensabotaj Yayasan Albukhary selain enggan membenarkan pengecualian cukai ke atas yayasan tersebut ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 2018 hingga 2020.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah tersebut juga bermaksud beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila yayasan kebajikan tersebut tidak patut dikenakan cukai.

Baca Artikel Penuh