Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kesediaan beliau untuk mengambil semula tindakan undang-undang terhadap Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan, ekoran tersiarnya rencana beliau mengenai keputusan mahkamah tinggi di dalam portal rasmi parti itu.
Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri (KM) , Raja Syarafina Raja Shuib dalam satu kenyataan petang ini menyatakan rasa terkilan dengan tindakan Nasrudin yang telah menulis sebuah rencana susulan bertajuk ‘Catatan dari Mahkamah Tinggi Georgetown kes diselesaikan di luar mahkamah’ yang disiarkan di laman parti itu semalam.
“Sama ada rencana tersebut ditulis dalam kealpaan atau kecuaian yang disengajakan, Ustaz Nasrudin tidak seharusnya memutar-belitkan fakta dan/atau memperlekehkan kebenaran dalam usaha beliau untuk menegakkan benang yang basah.
Menurut kenyataan itu, walaupun prosiding guaman terhadap Nasrudin dijadualkan berlangsung semalam dan hari ini, Lim masih menerima jalan penyelesaian damai yang dicadangkan oleh pihak Mahkamah.
“ Dalam pada ini, Nasrudin hanya perlu, antara lain, meminta maaf akibat tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan terhadap KM dalam Artikel tersebut.” Jelasnya.
Perkara kedua dalam kenyataan itu menyebut, meskipun Nasrudin tahu dan/atau patut tahu dari dokumen yang difailkan untuk tujuan perbicaraan bahawa Artikel tersebut sememangnya merupakan fitnah beliau terhadap Lim, Nasrudin enggan memohon maaf daripada Lim.
“ Malah, Ustaz Nasrudin juga sebenarnya enggan untuk menyuarakan kekesalan beliau terhadap salah-faham yang telah dicetuskan akibat daripada Artikel tersebut.”
Perkara Ketiga, kenyataan itu menyebut andainya Lim mementingkan kepentingan dirinya semata-mata dan enggan menerima kenyataan ‘kekesalan’ daripada Nasrudin, tidak mungkin penyelesaian damai boleh berlaku sama sekali.
“Sekiranya Ustaz Nasrudin yakin bahawa Artikel tersebut bukan merupakan fitnah terhadap KM, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada KM? Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta,” ujarnya.
Susulan daripada penjelasan di atas dan sekiranya masih ada putar-belit dalam mana-mana laporan media berhubung dengan penyelesaian damai tersebut, pihak Ketua Menteri katanya, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Memandangkan saya sendiri telah menyaksikan rentetan peristiwa yang membawa kepada penyelesaian damai tersebut di Mahkamah Tinggi semalam, pastinya ramai yang terkilan termasuk saya dengan tindakan Ustaz Nasrudin menulis suatu rencana susulan bertajuk ‘Catatan dari Mahkamah Tinggi Georgetown – Kes diselesaikan di luar mahkamah’ yang boleh diakses melalui laman web http://www.pas.org.my/arkib/ketua -penerangan/7338-catatan-dari-mahkamah-tinggi-georgetown-kes-diselesaikan-di-luar-mahkamah,” ujarnya.
Semalam Nasrudin (defenden) diarah membayar kos sebanyak RM10,000 kepada plaintif, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut dikehendaki menarik balik kenyataan kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Guan Eng tidak mengamalkan tender terbuka dalam projek dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam sejauh 6.5 kilometer itu.
Penghakiman persetujuan berkenaan diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.