Lima tahun bersabar dengan mulut jahat pasangan, siapa sahaja yang boleh menanggung rasa marah terpendam lama.
Buat wanita dikenali Mar (bukan nama sebenar), dia bagaimanapun tidak menyangka kesabaran suami akhirnya habis apabila dia diceraikan di pagi raya.
Menurut Kosmo! Online, ibu tunggal anak tiga memberitahu, kegembiraannya menyambut Syawal sudah tiada apatah lagi selepas diceraikan suami.
Mar mengakui kesalahan adalah terletak pada dirinya kerana membuatkan keluarga suaminya, Affan (bukan nama sebenar) berantakan dan membenci sesama sendiri.
“Suami mana yang tidak hilang sabar dengan sikap dan mulut jahat isterinya? Bukan setahun atau dua tahun dia bersabar, tetapi lebih lima tahun.
“Saya akui, saya memang wanita yang tidak baik untuk dijadikan isteri dan contoh kepada yang lain.
“Perangai saya yang teruk membuatkan suami hilang sabar dan akhirnya kami berpisah,” ujar wanita berusia 40 tahun itu.
Mar bagaimanapun tidak menyedari apa yang terjadi dek kerana mulutnya hinggalah dia bercerai dengan suami.
“Saya akui, sebelum berkahwin dengan suami lagi, saya memang seorang yang mulut jahat dan suka melaga-lagakan orang lain.
“Perangai jijik itu saya bawa sehingga berumah tangga. Malah, adik-beradik suami pun saya laga-lagakan.
“Jauh dalam hati, saya tidak suka melihat orang lain dekat dan baik dengan suami saya termasuk ibu mentua serta adik-beradiknya.
“Jadi, ada sahaja helah yang saya cipta dan lakukan bagi melaga-lagakan mereka sekeluarga.
“Bila fikir-fikir balik, saya seakan-akan hilang pedoman dan bukan macam manusia normal pada ketika itu,” tambahnya.
Hubungan suami dan mak mentua hampir terputus
Lebih memeritkan, hubungan suami dan ibu mentua hampir terputus angkara fitnah yang direkanya.
Puncanya adalah kerana dia memang tidak senang duduk apabila melihat hubungan dan keakraban suami bersama insan lain termasuk ahli keluarga sendiri.
“Mungkin lama suami bertahan dengan perangai saya, namun sepatah pun dia tak cakap atau tegur.
“Saya tahu, sudah lama dia terseksa beristerikan wanita ‘neraka’ seperti saya ini. Namun, dia tetap sabar dan buat seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Sampailah pada pagi raya dua tahun lalu, saya diceraikan talak satu dengan sekali lafaz oleh suami di depan ibu dan ahli keluarga yang lain.
“Saya tersentak ketika itu. Saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang keluar daripada mulut suami.
“Namun, saya sedar, itulah ‘hukuman’ yang harus diterima atas perbuatan buruk saya selama ini,” katanya.
Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, sehingga kini Mar masih rasa berdosa akan kata-kata jahat terhadap keluarga bekas mentua.