PM interim: Ini bukan lojik undang-undang tetapi lojik orang gila kuasa

Oleh BORHAN AHMAD

Lojik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melantik PM interim disifatkan sebagai bukan lojik undang-undang tetapi lojik orang gila kuasa.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, dari segi undang-undang dan amalan demokrasi di Malaysia, PM interim tidak perlu dilantik ketika PM yang ada tidak meletak jawatan, atau sedang bercuti atau sedang berada di luar negara.

“Tiada dalam undang-undang atau amalan negara lantik PM interim bila PM bercuti atau berada luar negara.

“Itu bukan ikut undang-undang atau perlembagaan, itu lojik orang gila kuasa,” kata Azli mengulas kenyataan Hamzah baru-baru ini yang mendakwa negara dalam krisis dan PM interim perlu dilantik.

Bagi Azli, tuntutan ini ini bukan persoalan undang-undang pun, “ini hanya politik murahan.”

Bagi Azli, Hamzah dan rakn-rakannya tahu mereka tidak mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk membawa undi tidak percaya di Parlimen.

“Hamzah dan gengnya tahu, dia tak cukup angka untuk turunkan PM dan gulingkan kerajaan di Parlimen.

“Jadi cuba guna naratif luar kononnya negara dalam krisis tetapi rakyat bukan bodoh dan mudah untuk diperbodohkan.

“Fakta tetap fakta, PM tak letak jawatan, tiada kekosongan, tiada undi tidak percaya , maka tiada keperluan untuk PM interim,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan Hamzah dan rakan-rakannya agar menunggu pilihan raya umum untuk berusaha menukar PM.

“Kalau berhajat nak sangat jadi PM, tunggu PRU bukan ikut suka hati dan ikut mereka yang tak cukup jumlah,” kata beliau yang dipercayai menyindir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melaungkan “Dah cukup jumlah” selepas PRU 15 lalu walaupun sebenarnya tidak cukup.

Gesaan pembangkang juga disifatkan sebagai tak masuk akal dan langkah kebelakang ketika negara bergelut dengan pelbagai isu geopolitik termasuk berdepan tarif AS.

Malaysia juga ketika ini sedang mengadakan sidang kemuncak ASEAN (Menteri Luar) dan ke arah persiapan untuk sidang kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 yang dijangka akan dihadiri pemimpin utama dunia.

Kerajaan juga akan membentangkan RMK ke-13 bulan depan.

“Fokus Perdana Menteri dan kerajaan sepatutnya tertumpu kepada persiapan ini, bukannya melayan gesaan pembangkang terhadap isu yang sudah berulang kali diulas,” kata penganalisis.