Kerajaan dan agensi Persekutuan disarankan mengambil alih tugas pengantungan segala aktiviti melibatkan bauksit di negeri Pahang.
Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit, Fuziah Salleh berkata, lebih kurang 700,000 warga Kuantan terdedah risiko yang amat tinggi kerana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adenan Yaakob tiada kesungguhan dan tiada kekuatan politik untuk melaksanakan keputusan kabinet.
“Keadaan di Kuantan terlalu mencemaskan bagi 700,000 penduduknya yang terdedah risiko kesihatan amat tinggi.
“Kehidupan sungai sudah tercemar dan merbahaya untuk dimakan. Malah air sungai di beberapa sungai di Kuantan di tahap merbahaya kerana terdapat logam berat.
“Udara pula merupakan udara yang bukan sahaja berdebu dengan tahap indek pencemaran udara yang tinggi di kawasan terbabit yang mempunyai toksid dan bahaya untuk kesihatan penduduk.
“Jalan raya juga sudah tidak selamat kerana kehadiran lori mengangkut bauksit yang tidak patuh pada peraturan. Malah industri dan ekonomi tempatan turut terjejas disebabkan industri bauksit.
“Ditambah hakisan tanah runtuh juga berisiko tinggi apabila bukit dikorel dengan rakusnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kuantan itu berkata demikian bagi menjawab balas kenyataan Datuk Seri Liow Tong Lai semalam yang menyatakan kabinet sudah bersetuju satu moratarium berkenaan industri bauksit sebagai hadiah tahun baru ke atas warga Kuantan.
Bagaimanapun Fuziah menegaskan,kerajaan negeri tidak mampu untuk memberhentikan aktiviti melombong, mencuci, mengorek dan mengangkut bauksit haram serta tidak dapat mengawal himpunan stockpile bagi yang berlesen.
“Lebih parah apabila kawasan hulu tadahan air minuman dibiarkan dengan aktiviti yang mencemarkan sumber air minuman.
“Selepas empat hari hujan tembok kolam di lombong yang berlesen runtuh. Selepas dua hari hujan lebat laut sudahpun menjadi merah.
“Ini semua tanda-tanda yang menunjukkan industri bauksit tidak dapat dikawal dan berisiko tinggi.
“Kita cukup bernasib baik pada tahun ini kerana tengkujuh tidak seperti biasa, sekiranya tidak menentu keadaan akan lebih parah.” jelasnya.
Justeru katanya lagi, sebelum keadaan menjadi lebih parah beliau menyeru kerajaan Persekutuan mengambil usaha pengantungan lesen pengusaha bauksit.