Bagi melonjakkan imej Malaysia sebagai negara demokrasi contoh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar diadakan debat terbuka antara calon-calon Ketua Menteri Melaka sempena pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
“Saya sambut baik malah mengalu-alukan hasrat kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon PRU Melaka termasuk yang ditonjolkan Pakatan Harapan di saluran media rasmi kerajaan.
“Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, BN dan PN yang bertanding di Melaka.
“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu kenyataannya hari ini.
Ketiga-tiga komponen utama yang bertanding dalam PRN Melaka telah menamakan calon ketua menteri masing-masing jika mereka menang.
PH telah menamakan bekas ketua menteri Adly Zahary, BN telah menamakan juga bekas ketua menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali manakala PN pula menamakan Mas Ermiyati Samsudin, ahli parlimen BN yang melompat ke Bersatu yang juga timbalan menteri sebagai calon mereka.