Di tengah kebisingan isu keselamatan jalan raya membabitkan kenderaan berat khususnya lori, timbul satu perbandingan menarik yang menjadi perbincangan ramai.
Perbincangan terbuka tercetus susulan beberapa insiden baru-baru ini, termasuk kes sembilan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (RFU) yang maut dirempuh lori, mencerminkan kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan lori komersial.
Warganet memuat naik perbincangan bagaimana lori tangki Petronas yang membawa muatan berisiko tinggi seperti bahan api dan gas, jarang sekali terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Mereka tertanya, apakah pendekatan berbeza yang diamalkan oleh syarikat itu hingga mampu mengekalkan rekod keselamatan yang cemerlang, sedangkan banyak lori lain terus menjadi punca kemalangan.
“Lori ini rileks sahaja bawa 80km/j. Jarang pula dengar ada kemalangan,” tulis sebuah laman Facebook Pakej Percutian.
Hantaran pendek itu dengan cepat menarik ratusan komen daripada pengguna media sosial yang membincangkan soal disiplin ketat dan sistem keselamatan canggih yang diamalkan syarikat seperti Petronas.
Ramai yang berkongsi pengalaman peribadi tentang standard tinggi yang perlu dipatuhi oleh pemandu lori tangki bahan api.
“Sensor keliling lori. Dalam lori kamera standby je. sampai terlelap atau kita kepenatan pun boleh dikesan,” kongsi seorang netizen.
“Dulu masa SPM pernah kerja separuh masa dekat stesen minyak, tanya pemandu lori tangki Petronas, dia kata sehari dua trip je. Disiplin mereka sangat tinggi sebab kalau silap, pemandu sendiri yang kena,” kata Mohd Shafa Azam.
Seorang pengguna lain pula menceritakan pengalaman ketika berborak dengan salah seorang staf Petronas.
“Petronas, Shell syarikat besar. Displin dia ketat. Jadual dia teratur dari bawah sampai atas. Pernah borak dengan staff Petronas yang datang praktikal dekat syrikat saya kerja, kalau dia orang kerja melebihi masa, esoknya dah tak boleh msuk pejabat. Scan kad, palang takkan buka,” kata Najmi Che Hussin.
Baca juga: Ini senarai lebuh raya dan jalan utama di Lembah Klang yang ditutup sempena Asean Summit 2025